Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Achik dijangka menyerlah pada LTdL 2025

Kuala Lumpur: Persembahan cemerlang pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Wan Abdul Rahman Hamdan pada perlumbaan Tour of Route Salvation di Turkiye baru-baru ini, mengukuhkan lagi statusnya sebagai pelumba pecut lebuh raya nombor satu negara ketika ini.

Wan Abdul Rahman, atau lebih dikenali dengan jolokan Achik, menjuarai Peringkat 3 saingan UCI 2.2 itu pada Jumaat lalu (29 Ogos), sekali gus meraih kemenangan keduanya di pentas Eropah tahun ini selepas kejayaan sulung di Grand Prix of Antalya, Februari lalu.

Menurut Pengarah sukan TSG, Wan Nazri Wan Ahmad menyifatkan prestasi itu sebagai yang terbaik buat Wan Abdul Rahman musim ini dan percaya anak didiknya itu berupaya menjejakkan kaki ke podium pada perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) yang akan berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober depan.

“Saya rasa prestasinya di Tour of Route Salvation adalah yang paling menyerlah tahun ini. Dia kini berada di kemuncak prestasi dan harapan kami agar dia mampu mengekalkan momentum itu kerana LTdL hanya tinggal kurang sebulan saja lagi.

“Berdasarkan prestasi semasa, saya yakin dia berpeluang berada di podium LTdL,” kata Wan Nazri.

Wan Abdul Rahman, 26, adalah produk Akademi TSG dan kini berada di usia terbaik untuk pelumba pecut yang lazimnya memuncak ketika lewat 20-an hingga awal 30-an.

Seperti diketahui, Terengganu pernah melahirkan ramai pelumba pecut berkelas antarabangsa antaranya jaguh berbasikal trek Azizulhasni Awang, Anuar Manan serta legenda LTdL, Harrif Saleh.

Menariknya, Wan Abdul Rahman dijangka akan bergandingan dengan Harrif di LTdL kali ini, tatkala juara tiga peringkat LTdL itu mungkin membuat penampilan terakhirnya bersama TSG pada usia 37 tahun.