Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives September 2025

Speedy Tigers bedal Taiwan 15-0

Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara menutup kempen peringkat Kumpulan B dengan penuh bergaya apabila membelasah Taiwan 15-0 di Piala Asia 2025 di Bihar, India, hari ini.

Malaysia yang sudah mengesahkan tiket ke saingan Super 4 sejak Sabtu lalu tetap mempamerkan aksi bertenaga dengan Mohamad Ashran Hamsani muncul wira pasukan selepas meledak empat gol pada minit ke-8, 15, 32 dan 54.

Rakan sepasukan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook turut mengganas dengan lima jaringan, termasuk menerusi penalti strok pada minit ke-29 selain gol padang pada minit ke-10, 20, 45 dan 56.

Norsyafiq Sumantri pula menyumbang hatrik pada minit ke-20, 40 dan 60, manakala tiga lagi gol hadir menerusi Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (22′), Andywalfian Jeffrynus (24′) dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (32′).

Kemenangan besar itu melonjakkan keyakinan anak buah Sarjit Singh menjelang aksi Super 4 yang turut disertai Korea Selatan bagi mewakili Kumpulan B.

Dalam saingan itu, Malaysia perlu menamatkan kedudukan dua teratas untuk mara ke final.

Hanya juara kejohanan akan meraih tiket automatik ke Piala Dunia di Belgium dan Belanda tahun depan, sekali gus menjadi motivasi besar buat Speedy Tigers untuk terus mengekalkan rentak cemerlang mereka.

Pemanah negara raih kejayaan gemilang di Hungary

Hungary : Skuad memanah negara berjaya membawa pulang tiga pingat emas, lima perak dan dua gangsa pada acara World Historical Archery Championships (WHAC) 2025, baru-baru ini.

Kontinjen negara diketuai Anuar Faiq Mat Saat sebagai Chief de Mission merangkap Presiden HDH Archery Malaysia merangkul pencapaian cemerlang menerusi Muhammad Adam Mukhriz, Aira Imani, Dalia Asira, Muhammad Hifzhuddin serta Muhammad Khairul Eqmal.

Turut melakar pencapaian hebat pasukan penyumpit dari Bario, Sarawak, Sholina Sakai yang berjaya meraih juara dunia (Blowpipe Wanita) dan naib juara dunia, Albert Matius (Blowpipe lelaki), sekali gus memperkenalkan seni warisan Borneo ke persada antarabangsa.

Lebih istimewa penyertaan pada kejohanan menghimpunkan lebih 500 pemanah dari 30 buah negara itu menyaksikan Malaysia berjaya melahirkan empat calon pengadil bertaraf antarabangsa apabila Adha Rashid, Azmanizam Aziz, Mika Irfan Nojey dan Muhamad Hafiz Arif diiktiraf lulus di peringkat dunia.

Sekali gus memperkukuh kedudukan negara dalam aspek teknikal, kepimpinan dan keupayaan sukan memanah warisan.

Menurut Anuar yang turut bertindak sebagai duta WHAC, kontinjen negara hadir ke acara itu bukan sahaja untuk bersaing malah memperkukuh peranan dalam arena panahan warisan dunia.

“Kami mahu melahirkan pemanah muda yang mampu bersaing di pentas dunia, dan dalam masa sama menyediakan ASEAN untuk menjadi tuan rumah pertandingan berprestij pada masa hadapan.

“Kejohanan ini menjadi platform penting untuk melatih pengadil bertaraf dunia dari Malaysia, serta memperkenalkan inovasi melalui penggunaan rasmi Sasaran PERTAMA (Malaysian Target Face) buat julung kalinya dalam sejarah WHAC,” katanya.

Tambahnya, antara cabaran utama ialah cuaca berbeza, suasana kejohanan antarabangsa, serta pengenalan format baharu seperti ‘tactical moving target’ dan ‘3D target’, yang masih asing bagi pemanah Malaysia.

“Memanah di Malaysia masih terlalu statik dan tertumpu pada jarak dekat. Standard kita agak rendah berbanding dunia.

“Malah sewaktu sesi seleksi, tiada pemanah dewasa berjaya melepasi syarat kelayakan antarabangsa. Pemanah Malaysia perlu keluar dari zon selesa supaya mampu berdaya saing di pertandingan antarabangsa lain seperti di Turkiye dan Korea Selatan,” ujar Anuar yang turut menerima anugerah khas City of Gyula & HDH-IAA Historical Archery pada WHAC.

Anuar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu dan menyokong pasukan negara antaranya Kelab Pemanah DBKL, Persatuan Memanah Tradisional Kuala Lumpur serta Kedutaan Besar Malaysia di Budapest.

Dalam pada itu, Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merakamkan penghargaan dan tahniah kepada kontinjen negara diatas pencapaian berkenaan.

Pengarahnya, Sabran Abd Bahar berkata kejayaan berkenaan bukan sahaja menjadi inspirasi kepada generasi muda, malah bukti bahawa program pembangunan belia melalui sukan memanah tradisional mampu melahirkan juara dunia.

“Kementerian Belia dan Sukan dan Jabatan Belia dan Sukan Negara sentiasa komited dalam menyokong pembangunan sukan di Malaysia,” katanya.

Achik dijangka menyerlah pada LTdL 2025

Kuala Lumpur: Persembahan cemerlang pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Wan Abdul Rahman Hamdan pada perlumbaan Tour of Route Salvation di Turkiye baru-baru ini, mengukuhkan lagi statusnya sebagai pelumba pecut lebuh raya nombor satu negara ketika ini.

Wan Abdul Rahman, atau lebih dikenali dengan jolokan Achik, menjuarai Peringkat 3 saingan UCI 2.2 itu pada Jumaat lalu (29 Ogos), sekali gus meraih kemenangan keduanya di pentas Eropah tahun ini selepas kejayaan sulung di Grand Prix of Antalya, Februari lalu.

Menurut Pengarah sukan TSG, Wan Nazri Wan Ahmad menyifatkan prestasi itu sebagai yang terbaik buat Wan Abdul Rahman musim ini dan percaya anak didiknya itu berupaya menjejakkan kaki ke podium pada perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) yang akan berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober depan.

“Saya rasa prestasinya di Tour of Route Salvation adalah yang paling menyerlah tahun ini. Dia kini berada di kemuncak prestasi dan harapan kami agar dia mampu mengekalkan momentum itu kerana LTdL hanya tinggal kurang sebulan saja lagi.

“Berdasarkan prestasi semasa, saya yakin dia berpeluang berada di podium LTdL,” kata Wan Nazri.

Wan Abdul Rahman, 26, adalah produk Akademi TSG dan kini berada di usia terbaik untuk pelumba pecut yang lazimnya memuncak ketika lewat 20-an hingga awal 30-an.

Seperti diketahui, Terengganu pernah melahirkan ramai pelumba pecut berkelas antarabangsa antaranya jaguh berbasikal trek Azizulhasni Awang, Anuar Manan serta legenda LTdL, Harrif Saleh.

Menariknya, Wan Abdul Rahman dijangka akan bergandingan dengan Harrif di LTdL kali ini, tatkala juara tiga peringkat LTdL itu mungkin membuat penampilan terakhirnya bersama TSG pada usia 37 tahun.

Polti tampil strategi berbeza di LTdL 2025

Kuala Lumpur: Pasukan ProTeam dari Itali, Polti-VisitMalta tampil dengan strategi berbeza apabila mempertaruhkan empat pendaki untuk memburu kejayaan pada penampilan kedua mereka di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, dari 28 September hingga 5 Oktober ini.

Dibarisi legenda berbasikal dunia, Ivan Basso dan Alberto Contador sebagai tonggak teknikal, skuad berpangkalan di Sepanyol itu kali ini menurunkan pelumba Itali berusia 27 tahun, Davide Bais sebagai ketua pasukan.

Bais yang beraksi tiga kali di Giro d’Italia pernah mencatat kemenangan berprestij pada Peringkat 7 edisi 2023.

Turut melengkapkan kuartet pendakian ialah Alex Martin (Sepanyol, 25), German Dario Gomez (Colombia, 24) serta Fernando Lopez Tercero (Sepanyol, 23) yang menamatkan saingan di tangga keempat keseluruhan LTdL tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, pertaruhan empat pendaki itu membuktikan keazaman Polti untuk meninggalkan impak selepas gagal mencatat sebarang kemenangan peringkat pada edisi 2024.

“Pasukan yang datang ke LTdL biasanya mahu membuktikan kemampuan mereka agar terus diundang pada masa akan datang. Saya percaya Polti kali ini lebih serius dengan misi melahirkan pemenang peringkat dan juga pencabar jersi individu keseluruhan,” kata Emir.

Menurutnya, peringkat mendaki seperti Gerik-Pasir Puteh (Peringkat 3) dan Temerloh-Bukit Fraser (Peringkat 5) bakal menjadi medan utama Polti untuk menyerlah, terutama dengan adanya pendakian Kategori 1 yang mampu mengubah keputusan klasifikasi.

Selain pakar mendaki, Polti turut membawa dua pakar pecut iaitu Manuel Penalver dan Gabriele Reccagni.

Penalver, 26, pernah meraih podium di Butterworth dan Bentong tahun lalu, selain cemerlang dengan kemenangan peringkat di Tour of Qinghai Lake tahun ini.

LTdL25 yang berstatus 2.ProSeries akan merentasi semua 12 negeri Semenanjung Malaysia sejauh 1,243.5 kilometer bermula di Langkawi pada 28 September dan menamatkan saingan di hadapan KLCC pada 5 Oktober.

‘Maaf tak dapat hadiahkan emas’ – Rosman

Kuala Lumpur: Jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak mengakui banyak pengajaran diperoleh selepas gandingan Pearly Tan-M Thinaah menutup kempen penuh bersejarah di Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, semalam

Pasangan negara itu mencipta sensasi apabila mara ke final buat julung kalinya dalam sejarah badminton Malaysia sebelum terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

“Tamat sudah edisi Kejohanan Dunia kali ini. Banyak perkara yang kami belajar dari proses ini dan kami akan terus belajar untuk mencapai matlamat utama,” kata Rosman menerusi satu hantaran di media sosialnya.

Beliau dalam masa sama berterima kasih kepada Pearly dan Thinaah atas semangat juang tinggi mereka sepanjang kejohanan, selain sokongan tidak berbelah bahagi daripada Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, barisan jurulatih, Institut Sukan Negara (ISN) serta seluruh warga badminton tanah air.

“Terima kasih kerana sentiasa percaya pada kami. Kepada semua penyokong badminton dan rakyat Malaysia, maaf kerana tidak dapat hadiahkan emas kali ini. Teruskanlah menyokong semua atlet negara. Selamat Hari Merdeka,” katanya.

Pearly-Thinaah tumpas kepada pilihan utama China, Liu Sheng Shu-Tan Ning pada aksi final yang berlangsung sengit lebih sejam itu 14-21, 22-20, 17-21.

Lapan wira sukan dilantik Ikon Perpaduan 2025

Kuala Lumpur: Lapan wira sukan negara termasuk beregu wanita utama yang juga Naib Juara Kejohanan Badminton Dunia Pearly Tan-M Thinaah dilantik sebagai Ikon Perpaduan Tahun 2025.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan memaklumkan turut dilantik pemain badminton yang juga pasangan beregu, Goh Sze Fei-Nur Izuddin Rumsani serta Wan Muhammad Arif Shaharudin-Yap Roy King di samping beregu dart negara, Tengku Hadzali Tengku Mustaffar-Tan Jenn Ming.

“Sukan merupakan wadah yang paling ampuh dalam memupuk semangat perpaduan, keharmonian serta kebersamaan rakyat Malaysia.

“Setiap kali atlet negara ini berentap di persada dunia, seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang berdiri teguh di belakang mereka, bersatu hati menyokong Jalur Gemilang dikibarkan dengan penuh bangga,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Perpaduan Negara memaklumkan atlet yang dipilih bukan sahaja mencipta kejayaan di pentas antarabangsa, malah menjadi teladan dengan membuktikan semangat kesukanan mampu meruntuhkan tembok perbezaan serta memperkukuh semangat Malaysia MADANI.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan sama berkata, beliau berharap agar semua Ikon Perpaduan dapat terus menyebarkan mesej perpaduan dan menanam benih keharmonian dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata ini selaras aspirasi Malaysia untuk membina sebuah negara bangsa yang aman, harmoni dan bersatu padu.

“Kementerian percaya dengan semangat dan iltizam yang ditonjolkan oleh ikon-ikon ini, nilai-nilai perpaduan dapat terus disemarakkan sekali gus menyatukan rakyat Malaysia di bawah satu identiti kebangsaan,” katanya.

Emas pecut berpasukan ubat duka Ridwan

Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, saya rasa gembira sebab dapat menghadiahkan pingat emas dalam acara pecut berpasukan.”

Itu luahan pelumba berbasikal trek negara, Ridwan Sahrom selepas membantu skuad pecut berpasukan negara meraih emas di Piala Trek Asia 2025 yang berlangsung di Suphanburi, Thailand, hujung minggu lalu.

Ridwan yang bergandingan bersama Muhammad Fadhil Zonis dan Akmal Nazimi Jusena, menewaskan trio Kazakhstan (Kirill Kurdidi, Ramazan Mukhtar, Daniyar Shayakhmetov) untuk mengesahkan status Malaysia sebagai kuasa besar pecut Asia.

Kejayaan itu hadir sehari selepas Ridwan berdepan kekecewaan apabila dikenakan penyingkiran dalam acara keirin.

“Setakat ini Alhamdulillah, sekurang-kurangnya kemenangan ini dapat menyuntik semangat saya selepas apa yang berlaku dalam keirin.

“Secara jujurnya, saya tak berada pada tahap 100 peratus terbaik, tapi saya cuba gunakan taktikal yang ada untuk beri impak dalam perlumbaan. Dalam acara pecut berpasukan, saya rasa kami pun bukan 100 peratus, mungkin sekitar 60 ke 70 peratus. Tapi Alhamdulillah masih mampu menang,” katanya.

Menurut Ridwan, gandingan trio itu dijangka dikekalkan untuk menghadapi Sukan SEA nanti dengan misi membawa pulang emas buat kontinjen negara.

“Harapnya kombinasi ini terus dikekalkan. Kami masih fokus latihan untuk Sukan SEA, insya-Allah,” katanya.

Dalam masa sama, Ridwan masih menanti keputusan pihak pengurusan sama ada dia disenaraikan dalam acara keirin untuk Sukan SEA, selain peluang skuad negara beraksi di Kejohanan Dunia.

“Kami menunggu lampu hijau sama ada pecut berpasukan layak ke Kejohanan Dunia atau tidak. Kalau beri impak positif, kami akan pergi, tapi kalau tak capai kriteria jurulatih, mungkin tidak,” jelasnya.

Secara keseluruhan, skuad berbasikal trek negara membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan tiga gangsa dari kejohanan di Thailand itu.

‘Mereka layak bergelar juara dunia’ – Kien Keat

Kuala Lumpur: Bekas jaguh beregu negara, Koo Kien Keat memuji kejayaan bersejarah pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di Kejohanan Dunia dengan menyatakan mereka menunjukkan kematangan tinggi serta mencapai kemuncak prestasi pada masa yang tepat.

Beliau menyifatkan Ee Wei sebagai antara pemain wanita terbaik yang pernah dilahirkan Malaysia dalam acara beregu campuran, dengan ketajaman pintasan di bahagian jaring, selain memuji Tang Jie atas kepantasan dan liputan gelanggang yang luar biasa.

“Saya secara peribadi telah mengucapkan tahniah kepada mereka. Mereka begitu merendah diri dan saya fikir mereka memang layak mendapat kejayaan ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Seorang lagi bekas pemain kebangsaan Wong Pei Tty berkata, kejayaan pasangan ranking keempat dunia itu harus dilihat sebagai permulaan kepada perjalanan yang lebih gemilang bagi arena badminton Malaysia.

Beliau berkata pingat emas di Paris membawa makna besar kerana ia membuktikan kepada generasi baharu bahawa dengan keyakinan dan kerja keras, mereka juga mampu berada di puncak badminton dunia.

“Pertama sekali, tahniah kepada Tang Jie dan Ee Wei kerana bergelar juara dunia. Ia adalah pencapaian yang membanggakan Malaysia. Mereka mempamerkan semangat juang, keazaman serta perancangan taktikal bijak ketika menentang gandingan China.

“Untuk mencapai kejayaan lebih besar, mereka perlu kekal merendah diri, mengekalkan komunikasi yang baik, serta berdisiplin dalam latihan dan bermotivasi terhadap matlamat mereka,” katanya.

Sebelum kejayaan Tang Jie-Ee Wei, Pei Tty yang pernah bergandingan dengan Kien Keat adalah pasangan beregu campuran negara paling berjaya di Kejohanan Dunia apabila mara ke separuh akhir edisi 2006 di Madrid.

Semalam, Tang Jie-Ee Wei menghadiahkan Malaysia hadiah Hari Kebangsaan paling bermakna apabila menewaskan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 21-15, 21-14 dalam masa hanya 40 minit.

Pasangan negara itu, disemarakkan sorakan “Merdeka!”, tampil penuh inspirasi dengan gabungan kekuatan, ketepatan dan kesabaran untuk menyingkirkan pasangan handal dari China, dengan Ee Wei menguasai permainan di jaring manakala Tang Jie beraksi cemerlang di belakang gelanggang.

Emas beregu campuran, perak beregu wanita hadiah terindah Merdeka

Kuala Lumpur: Pada sambutan Hari Kebangsaan ke-68 semalam, arena badminton negara diraikan dengan penuh gemilang apabila dua wakil Malaysia mencipta sejarah di pentas Kejohanan Dunia 2025 di Paris.

Beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, menghadiahkan negara emas pertama dalam sejarah acara itu, manakala gandingan wanita, Pearly Tan-M Thinaah, turut mencatat pencapaian bersejarah dengan meraih pingat perak pertama buat negara.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyifatkan detik itu sebagai hadiah paling bermakna buat tanah air.

“Pada Hari Kemerdekaan ke-68, Malaysia cipta sejarah di Kejohanan Dunia. Buat julung kalinya, dua wakil negara mara ke final. Detik bersejarah, hadiah Merdeka bermakna buat tanah air tercinta. Terima kasih wira dan wirawati badminton negara,” kata BAM dalam satu hantaran di laman sosial rasmi mereka.

Kejayaan ini turut mendapat sorakan padu daripada netizen yang membanjiri media sosial dengan mesej penuh bangga dan rasa syukur.

Seorang pengguna, Mohd Ferdaus, menulis: “Kejohanan Dunia ditakluk. Juara dunia, pingat emas, 31 Ogos Hari Kebangsaan. Alhamdulillah, Malaysia di mata dunia!”

Bagi Willie Bong, pengorbanan jurulatih juga wajar diberi penghargaan: “Terima kasih jurulatih yang melatih mereka. Hari ini terbukti usaha berbaloi apabila mereka jadi juara. Beregu campuran emas, beregu wanita perak, detik bersejarah ini hadiah terbaik untuk Merdeka ke-68.”

Seorang lagi netizen, Daljeet Kaur, menyifatkan kejayaan itu sebagai hadiah paling indah buat seluruh rakyat Malaysia.

“Best gift for you Malaysia and Malaysians!!” katanya ringkas tetapi penuh makna.

Tidak ketinggalan, Ayadiar Sadayan turut menzahirkan ucapan penuh kasih buat juara dunia itu. “Love you Chen-Toh, tahniah!” tulisnya.

Gelombang ucapan tahniah ini jelas memperlihatkan betapa kejayaan di Paris itu bukan sekadar kilauan pingat, sebaliknya menjadi lambang penyatuan semangat rakyat Malaysia dalam meraikan ulang tahun kemerdekaan.

Majlis Sukan Negara Malaysia