Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives August 16, 2025

PROGRAM CSR ‘PAW-SITIVE MOVES WITH ATHLETES’

Seramai 17 atlet Pelapis Kebangsaan dari sukan Akuatik (Terjun), Menembak, Tenpin Boling dan Para Menembak berganding tenaga dalam program khidmat masyarakat “Paw-sitive Moves with Athletes” sempena “International Homeless Animal Day” di “Society for the Prevention of Cruelty to Animals” (SPCA) Ampang, Selangor.

Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari itu memberi pendedahan secara langsung kepada atlet mengenai aspek pemeliharaan dan kebajikan haiwan.

Antara pengisian utama ialah lawatan ke “Cattery” dan “Kennel”, sesi penerangan tentang kepentingan pemandulan, usaha mencegah kekejaman terhadap haiwan serta aktiviti interaktif bersama sukarelawan SPCA.

Penglibatan atlet dalam program CSR sebegini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah menanam nilai empati terhadap haiwan yang juga berhak disayangi dan dilindungi.

PROGRAM SANTAI MALAM MINGGU – HIDANG MAKANAN TRADISI DAN GAYA FUSION

Program “Santai Malam Minggu” anjuran Cawangan Hospitaliti, Bahagian Khidmat Pengurusan MSN berlangsung meriah di Lobi Aras 2, Bangunan Pentadbiran MSN semalam, khusus untuk para atlet.

Bermula 6.00 petang hingga 8.30 malam, program ini menyajikan pelbagai hidangan istimewa termasuk Nasi Ayam Penyet, Spaghetti with Grilled Lamb Chop, dan Bandung Strawberry Laici.

Suasana lebih ceria dengan slot karaoke, memberi peluang atlet berhibur sambil mengeratkan hubungan antara rakan sukan.

Aktiviti santai serupa turut berlangsung serentak di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan dan Kompleks MSN Nilai, menjadi wadah rehat yang menyenangkan sambil memupuk semangat kekeluargaan serta kesejahteraan sosial atlet di luar rutin latihan harian.

MAJLIS PELANCARAN LOGO, MASKOT, TEMA DAN COUNTDOWN 1 TAHUN SUKMA XXII DAN PARA SUKMA SELANGOR 2026

Helang Putih dipilih sebagai maskot rasmi Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang bakal berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos 2026.

Pasangan Helang Putih yang diperkenalkan adalah simbol kekuatan dan semangat belia manakala reka bentuk maskot lelaki dan wanita pula menggambarkan perpaduan, keterangkuman serta sinergi atlet dalam sukan dengan warna ikonik Selangor iaitu merah, kuning dan putih.

Maskot berkenaan pernah menghiasi temasya sama ketika Selangor menjadi tuan rumah pada 1998.

Tema “Rentak Kita, Aksi Kita” turut diumumkan untuk temasya edisi kali ini.

Pelancaran logo, maskot dan tema SUKMA serta PARA SUKMA 2026 disempurnakan Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohammad Norza Zakaria; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, YB Mohd Najwan Halimi dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, YBrs. En. Jefri Ngadirin.

Majlis Sukan Negara Malaysia