Kuala Lumpur: Muay thai, petanque dan silambam sah menjadi tiga sukan pilihan baharu yang akan dipertandingkan pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Keputusan itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; Exco Sukan Negeri serta Pengerusi Majlis Sukan Negeri.
Cadangan penambahan tiga sukan itu dikemukakan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA XXII 2026, Mohd Najwan Halimi, sebelum dipersetujui sebulat suara semua ahli jawatankuasa.
“Dengan penambahan ini, SUKMA XXII Selangor 2026 bakal mempertandingkan 30 sukan wajib dan tujuh sukan pilihan.
“Jawatankuasa turut memutuskan tiada lagi cadangan atau rayuan penambahan sukan akan dipertimbangkan selepas ini,” jelas kenyataan itu.
Temasya itu dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026, membabitkan sembilan daerah di seluruh Selangor.
Hannah dalam pada itu memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mengkaji penganjuran ‘Non-SUKMA Games’ untuk sukan yang tidak terpilih, selain menilai model baharu SUKMA selepas edisi Kelantan 2028 bagi memastikan pembangunan sukan dan atlet terus berjalan tanpa membebankan peruntukan kerajaan.