Kuala Lumpur: Legenda badminton negara Datuk Razif Sidek menyifatkan Kejohanan Dunia di Paris, Perancis dari 25 hingga 31 Ogos ini dianggap medan terbaik buat beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mengulangi kejayaan bergelar juara dunia buat kali kedua.
Keyakinan itu disuarakan Razif yang menyifatkan pasangan nombor dua dunia itu memiliki peluang hampir 80 peratus bagi menjadi juara dunia buat kali kedua selepas melakukannya pada 2022.
Razif yang juga naib juara dunia beregu lelaki bersama abangnya, Datuk Seri Jalani Sidek pada 1987, menegaskan perkara itu berdasarkan pencapaian direkodkan oleh Aaron-Wooi Yik dengan tiga kejuaraan dan lima kali mara ke final tahun ini.
“Pertama sekali kita perlu tengok dari segi laluan dan bagi saya ia satu perkembangan yang bagus kerana kita mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama. Selain itu, kita juga memiliki empat wakil (beregu lelaki), jadi harap dapat jadi juara dunia.
“Saya lihat dari segi prestasi dan pencapaian, mereka (Aaron-Wooi Yik) berada di tahap terbaik. Dengan rekod lima final musim ini, saya percaya mereka sepatutnya mara ke final dan kalau bergelar juara, itu satu kebanggaan besar buat negara,” katanya.
Sepanjang saingan musim ini, anak buah Herry Iman Pierngadi itu menampilkan aksi cemerlang merangkul tiga kejuaraan iaitu Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.
Razif turut menegaskan persiapan mental, strategi dan taktikal menjadi kunci kejayaan, dan berharap sentuhan magis Herry dan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky dapat merealisasikan impian beregu negara.
Kejohanan Dunia kali ini turut menyaksikan empat beregu lelaki negara beraksi dan selain Aaron-Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan juga beregu muda negara Arif Wan Junaidi-Yap Roy King.
Tampil selaku pilihan kedua, Aaron-Wooi Yik menerima bye di pusingan pertama, namun dijangka berdepan cabaran getir di pusingan ketiga sama ada rakan senegara, Arif Wan Junaidi-Roy King atau pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh.
Laluan mereka dijangka lebih mencabar di suku akhir dengan kemungkinan bertemu naib juara Olimpik Paris 2024 dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang atau gandingan utama India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
Sekiranya mara ke separuh akhir, Aaron-Wooi Yik berpotensi berdepan rakan senegara, Sze Fei-Izzuddin bagi mencipta pertembungan sesama sendiri.
Bagi kategori beregu wanita, pasangan utama negara, Pearly Tan-M Thinaah dilihat berpeluang untuk melangkah ke separuh akhir.
Pilihan kedua itu menerima bye di pusingan pertama dan dijangka berdepan pasangan ranking ke-14 dunia dari Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti di suku akhir.
Pearly-Thinaah kini mendahului 2-1 dalam rekod pertemuan ke atas gandingan berkenaan.