Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nova tuntut Tang Jie-Ee Wei ubah mentaliti

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto menuntut gandingan Chen Tang Jie–Toh Ee Wei supaya mengubah mentaliti apabila beraksi di Kejohanan Badminton Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini.

Beberapa masalah sudah dapat dikesan ke atas beregu negara itu terutama apabila mereka gagal meraih sebarang gelaran biarpun mara ke separuh akhir sebanyak lima kali.

Bagi mengatasi masalah itu, Nova bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky merangka latihan simulasi untuk berdepan tekanan dalam gelanggang.

Tambahnya, Tang Jie–Ee Wei kerap hilang rentak apabila lawan mengejar mata atau apabila salah seorang daripada mereka bergelut di gelanggang.

“Kita tidak boleh tunggu kejohanan untuk uji perkara ini. Kalau sudah biasa atasi tekanan di latihan, peluang untuk melakukannya di pertandingan akan lebih tinggi.

“Mereka boleh bermain baik ketika mendahului, tetapi apabila kedudukan menjadi rapat, permainan jadi sedikit kucar-kacir.

“Mereka ada teknik, tapi jadi masalah bila permainan tidak memihak kepada mereka.

“Jadi inilah yang mereka kena ubah dan cari jalan untuk menang walaupun tidak bermain pada tahap terbaik,” jelasnya.

Nova menyasarkan untuk beregu di ranking keempat dunia itu mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir di Paris, sekali gus membawa pulang pingat memandangkan kedudukan mereka selaku beregu pilihan.

Jika menjejakkan kaki ke podium, Tang Jie–Ee Wei akan menjadi pasangan kedua negara meraih pingat dalam beregu campuran di Kejohanan Dunia selepas Koo Kien Keat–Wong Pei Tty pada 2006.