Kuala Lumpur: Olahraga Malaysia (MA) masih mengharapkan ada khabar gembira daripada pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi berhubung penyertaannya ke Sukan SEA, Thailand hujung tahun ini.
Ketua jurulatih kebangsaan, Manshahar Abd Jalil yang ditemui pada mesyuarat Pemilihan Sukan SEA Thailand di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, hari ini berkata, setakat ini Azeem tetap disenaraikan dalam skuad negara dan dijadualkan beraksi dalam tiga acara, 100 meter (m), 200m dan 4x100m.
Begitupun, keputusan hanya akan dibuat selepas Azeem pulang ke Amerika Syarikat (AS) dan melakukan perbincangan bersama jurulatihnya, Ken Harnden.
“Azeem sekarang terikat dengan kontrak bersama NCAA dan Universiti Auburn, jadi dia perlu dapatkan pelepasan dari sana.
“Memang Azeem menyuarakan hasratnya untuk mewakili negara ke Sukan SEA dan dia juga adalah aset serta menjadi harapan untuk pingat,” katanya.
Azeem yang sebelum ini meraih pingat emas acara 100 meter (m) di Jelajah Benua Gangsa Olahraga Dunia dekat India dengan catatan masa 10.35 saat (s) dijangka akan kembali ke AS minggu ini dan satu perbincangan akan berlangsung dalam masa terdekat berhubung keputusannya ke Sukan SEA.
Begitupun, tegas Manshahar, sekiranya tiada kelibat Azeem di temasya dwitahunan itu, kontinjen negara boleh mengharapkan seorang lagi pelari yang mempunyai potensi besar, Danish Iftikhar Muhammad Roslee.
Danish membuktikan dia mampu melakar sesuatu apabila meraih gangsa di kejohanan yang sama dengan Azeem di India biarpun kali pertama beraksi di pentas antarabangsa.
Bagaimanapun, persaingan dalam acara utama itu masih terbuka dengan Kejohanan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung dari 29 hingga 31 Ogos ini bakal menjadi medan terakhir untuk menilai keupayaan atlet.
Secara keseluruhan, beliau memaklumkan bahawa kategori A melibatkan 35 atlet manakala kategori B terdiri daripada 17 atlet, yang kesemuanya telah diluluskan oleh ahli jawatankuasa untuk ke Sukan SEA.