Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Dua pemain dalam radar PSM

Kuala Lumpur: Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) nekad memastikan dua bintang utama, Hafizul Hayazi dan Zuleffendi Sumari, kembali menyarung jersi negara di Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan mengakui beliau sentiasa memantau prestasi kedua-dua pemain itu yang kini berada di tahap terbaik bersama Negeri Sembilan Antlers dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL).

“Saya tengah berusaha untuk dapatkan dua pemain ini. John (Hafizul) sebagai apit kanan dan Pak Long (Zuleffendi) apit kiri. Saya tahu prestasi mereka, jarang saya terlepas tengok perlawanan STL walaupun di TV atau telefon.

“Saya juga sudah bercakap dengan jurulatih untuk bawa mereka masuk ke skuad kebangsaan. Kami memerlukan dua pemain ini. Sebelum ini pun mereka memang ada dalam skuad, cuma semua tahu ada masalah,” katanya.

Difahamkan, nama Hafizul dan Zuleffendi sebelum ini diketepikan kerana tidak mendapat pelepasan daripada majikan masing-masing memandangkan penyertaan ke kem latihan pusat memerlukan cuti panjang.

Bagaimanapun, Sumali berjanji akan bertemu majikan kedua-dua pemain itu dalam masa terdekat untuk mendapatkan pelepasan, demi memastikan regu emas negara terbentuk di pentas dwi-tahunan berprestij itu.

Hafizul dan Zuleffendi yang bergandingan bersama tekong, Haziq Hairul Nizam, membuktikan dominasi mereka musim ini dengan menjuarai Grand Prix Negeri Sembilan dan Johor dalam STL.

Mengulas sasaran di Sukan SEA, Sumali berkata PSM realistik dengan memburu dua emas dalam acara regu lelaki dan kuadran lelaki, selain dua perak menerusi kuadran campuran serta regu berpasukan lelaki.