Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives August 11, 2025

Skuad ragbi B-18 harumkan nama negara di Hong Kong

Kuala Lumpur: Pasukan ragbi remaja Bawah 18 tahun (B-18) negara muncul juara selepas menewaskan Singapura 31-26 dalam perlawanan akhir Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Sekolah Asia di Hong Kong, semalam.

Dalam perlawanan akhir itu, anak buah Nazeer Nesharah membuktikan mereka layak bergelar pemenang apabila mengekalkan disiplin serta menampilkan aksi yang konsisten sepanjang pertandingan sehingga tidak memberikan banyak ruang dan peluang kepada lawan.

Bagi Nazeer, kemenangan ini adalah suntikan moral buat pemain bagi menghadapi Kejohanan Ragbi Asia Bawah 18 Tahun di China pada 17 Ogos depan tetapi beliau melihat masih ada beberapa perkara yang harus dibetulkan sebelum pertandingan itu bermula.

“Setakat ini, kita melihat pasukan ini, insya-Allah ada peluang sekiranya diberikan kesempatan untuk melangkah lebih jauh. Tetapi dari segi persediaan, saya rasa kita perlu tingkatkan lagi persediaan bagi menghadapi pasukan-pasukan yang lebih kuat selepas ini,” katanya.

Terdahulu, pada kejohanan itu, skuad kendalian Nazeer berada di kelas tersendiri apabila mencatat kemenangan bersih bermula di peringkat kumpulan, membelasah Kazakhstan 40-5 dan China (29-12) sebelum Thailand menjadi mangsa di separuh akhir, 24-5.

Untuk makluman, pasukan negara berjaya memperbaiki pencapaian pada edisi 2019 yang diadakan di Johor, di mana ketika itu wakil negara turut layak ke pentas final tetapi sekadar meraih naib juara.

Malaysia buru 16 emas di SEA Pekak 2025

Kuala Lumpur: Malaysia selaku juara bertahan bakal membawa kontinjen kedua terbesar ke Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 di Jakarta, Indonesia dari 20 hingga 26 Ogos ini, dengan misi memburu 16 pingat emas, sekali gus mempertahankan gelaran diraih pada edisi sulung di Kuala Lumpur pada 2022.

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) Ong Shin Ruenn berkata sasaran itu merangkumi enam emas menerusi olahraga, lima (tenpin boling), dua (badminton), dua (catur) serta satu (futsal lelaki).

“… untuk temasya SEA Pekak 2025 di Jakarta ini, kami berharap kerajaan boleh menilai untuk memberikan insentif wang kemenangan kepada pemain sama seperti atlet normal terutamanya sempena dengan Hari Merdeka sekiranya atlet kita bawa pulang pingat buat Malaysia.

“Atlet kita memang pernah menerima ganjaran contohnya di Deaflympics sebelum ini, namun duit itu dipanggil sebagai sagu hati (token) dan bukannya insentif,” katanya menerusi bantuan jurubahasa isyarat selepas sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shin Ruenn berkata beliau berharap suatu hari nanti komuniti pekak di negara ini mempunyai sebuah bangunan khas yang dilengkapi kemudahan latihan berpusat.

Beliau percaya kewujudan pusat latihan sedemikian bukan sahaja dapat meningkatkan prestasi atlet, malah menjadi simbol sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan komuniti pekak di Malaysia.

Terdahulu, sebanyak 80 atlet menggalas cabaran negara kali ini iaitu hanya 20 orang kurang berbanding kontinjen terbesar, Indonesia selaku tuan rumah yang membawa 100 atlet.

Secara keseluruhan, kontinjen Malaysia merangkumi 53 atlet dan 27 pegawai yang akan berentap dalam enam acara sukan iaitu futsal, olahraga, badminton, tenpin boling, catur dan ping pong.

Sementara itu, Naib Presiden MSDeaf Sarkunan Balakrisnan yang dilantik sebagai Ketua Kontinjen berkata ia penghormatan besar apabila diberi kepercayaan memikul tanggungjawab itu.

Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai berbekalkan semangat dan motivasi tinggi, sekali gus memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk menghargai kemampuan komuniti pekak.

“Bagi saya pencabar terdekat ialah tuan rumah, Indonesia. Namun dengan segala persediaan, kami pasti boleh melakukan,” katanya.

Sementara itu, atlet kelahiran Perlis yang juga pemenang pingat emas pada Sukan SEA Pekak 2022 dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada temasya itu.

SESI PEMBENTANGAN LAPORAN KAJIAN TASK FORCE PROGRAM KHAS

Sesi pembentangan dapatan Data Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Program Khas MSN oleh pihak penyelidik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dipengerusikan oleh YBrs. En Sofian Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Sukan MSN yang turut dihadiri oleh Pengarah-Pengarah bahagian MSN.

Satu Kajian keberkesanan pelaksanaan program khas bagi sukan NHDP, NRDP dan NNDP telah diarahkan oleh Lembaga Pengurus MSN bagi mengkaji keberkesanan pelaksanaan program pembangunan sukan yang dilaksanakan oleh MSN.

Ahli Jawatankuasa Task Force yang dibentuk adalah terdiri daripada kombinasi pakar penyelidik dari UPSI dan bekas pemain kebangsaan bagi setiap sukan (Hoki,Ragbi dan Bola Jaring).

Cheong Min dedikasi emas sempena Hari Kebangsaan

Kuala Lumpur: Ratu wushu negara Tan Cheong Min yang memperoleh pingat emas pertama dalam acara wusyu di Sukan Dunia pada Sabtu lepas, mendedikasikan kejayaan tersebut sebagai hadiah sempena Hari Kebangsaan yang bakal diraikan tidak lama lagi.

Beliau berkata, kejayaan tersebut turut menjadi pengiktirafan besar kepada sukan wushu, selepas buat pertama kalinya ia dipertandingkan secara rasmi di temasya berprestij itu.

“Pingat emas ini bukan untuk saya seorang, tetapi untuk Malaysia. Ia juga hadiah istimewa untuk sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

“Sebelum ini, wushu bukan acara rasmi di Sukan Dunia. Jadi, selama ini Asian Games dan Kejohanan Dunia dianggap sebagai pentas tertinggi bagi kami. Saya sangat bangga dan gembira dengan pencapaian ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bekas juara dunia itu berharap kejayaan tersebut menjadi pembakar semangat kepada rakan-rakan atlet untuk terus berusaha meraih kejayaan dan memartabatkan sukan wushu.

Pingat emas yang dimenangi di Chengdu, China itu menyumbang kepada kutipan keseluruhan tiga pingat kontinjen negara di kejohanan berkenaan, iaitu satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Atlet kelahiran Melaka itu berkata kejayaan tersebut turut menjadi motivasi buat dirinya, yang kini menumpukan persiapan ke beberapa kejohanan sebelum 2025 berakhir.

“Ada lagi kejohanan akan saya sertai, antaranya Kejohanan Wushu Dunia di Brazil pada September, dan saya mahu memastikan dapat meraih emas lagi di sana. Selepas itu, saya akan memberi fokus kepada temasya Sukan SEA di Thailand pada Disember,” katanya.

Sebagai rekod, Cheong Min merangkul gelaran juara dunia 2017 di Kazan, Rusia dalam acara Duilian, sebelum menambah gelaran keduanya pada 2019 di Shanghai, China dalam acara Nandao.

Dua pakar pecut perkuat XDS Astana

Kuala Lumpur: Pasukan WorldTeam dari Kazakhstan, XDS Astana Team bakal hadir dengan dua pakar pecut handalannya pada PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 sekali gus melaungkan amaran awal untuk menguasai peringkat landai pada saingan yang bermula 28 September hingga 5 Oktober depan.

Dalam senarai awal enam pelumba dihantar kepada penganjur, Astana turut menyenaraikan pemenang jersi merah Raja Pecut dan tiga peringkat dalam LTdL tahun lalu, Matteo Malucelli serta pakar pecut dengan koleksi empat kemenangan peringkat dalam LTdL, Gleb Syritsa.

Secara tidak langsung, keputusan meletakkan pakar pecut berganda itu mencerminkan strategi Astana untuk menguasai enam peringkat yang dianggap landai dan memberi kelebihan kepada pakar pecut dalam laluan LTdL kali ini.

Ketua Pegawai Operasi Sekretariat LTdL 2025, Emir Abdul Jalal berkata, pihaknya tidak terkejut dengan strategi pasukan itu, lebih-lebih lagi dengan adanya enam peringkat yang dianggap landai dan memberi kelebihan kepada pasukan mengandungi pakar pecut.

“Berdasarkan laluan tahun ini, ada enam peringkat kami jangka bakal berakhir dengan pecutan beramai-ramai di garisan penamat dan pasukan yang memiliki beberapa pakar pecut pasti mahu mengumpul kemenangan peringkat dan dengan kehadiran Malucelli dan Syritsa, Astana tampak ada sedikit kelebihan.

“Ia juga mungkin sebahagian daripada strategi pasukan itu untuk mengimbangi kehadiran pakar pecut pasukan lain seperti pelumba dari Tudor Cycling, Alberto Dainese dan Fabio Jakobsen (Team Picnic PostNL) yang masing-masing memiliki reputasi hebat dengan kemenangan di Giro d’Italia dan Vuelta a Espana,” kata Emir dalam satu kenyataan media, hari ini.

Empat pelumba lain dalam senarai awal Astana adalah Aaron Gate, Anton Kuzmin, Nicolas Vinokurov dan Lev Gonov.

Gate, pelumba berusia 35 tahun dari New Zealand, adalah pemenang empat pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan diramal menjadi taruhan dalam misi memburu jersi hijau individu keseluruhan pada saingan LTdL ini.

Kuzmin, 29, dan Gonov, 25, yang juga rakan sepelatih Syritsa dalam acara trek kejar-mengejar dijangka memikul peranan utama untuk membentuk ‘kereta api’ Astana di bahagian depan peloton pada beberapa kilometer (km) terakhir, sebelum membuka ruang untuk Malucelli atau Syritsa dalam pecutan terakhir.

Nicolas, 23, yang juga anak kepada legenda Alexander Vinokuorov, dijangka menjadi pembantu dalam setiap strategi harian Astana, dan berkemungkinan diarah untuk mengikuti setiap cubaan pemecahan oleh sekelompok kecil pelumba.

“Berdasarkan senarai awal ini, itu yang boleh kita ramalkan tetapi mungkin strategi Astana nanti akan berubah mengikut keadaan dan keutamaan pasukan itu kerana ia bergantung kepada beberapa faktor dan situasi perlumbaan.

“Namun dengan status sebagai WorldTeam, kita boleh katakan barisan pelumba Astana yang hadir kali ini adalah sebuah pasukan yang handal dan agak menonjol,” kata Emir lagi.

Edisi ke-29 LTdL yang merentasi semua 12 negeri di Semenanjung dengan jarak keseluruhan 1,257.8km sepanjang lapan peringkat, menarik penyertaan tiga pasukan berstatus WorldTeam, lapan ProTeam, 10 pasukan Benua dan satu pasukan kebangsaan iaitu Malaysia.

PERBINCANGAN KERJASAMA ANTARA MSN – PERKESO – ISN

Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) bersama Institut Sukan Negara (ISN) telah mengadakan perbincangan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKSO) bagi membincangkan kerjasama tiga hala antara MSN-PERKESO-ISN bertempat di Ibu Pejabat PERKESO, Kuala Lumpur.

Perbincangan yang dihadiri oleh YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN, memfokuskan kepada usaha mewujudkan kerjasama erat dalam pengenalpastian bakat atlet Para baharu melalui Pusat Rehabilitasi PERKESO, serta membincangkan caruman atlet negeri dan atlet luar program MSN bersama PERKESO.

Prestasi Azeem konsisten

Kuala Lumpur: Kejayaan Muhammad Azeem Fahmi memenangi pingat emas acara 100 meter (m) di Jelajah Benua Gangsa Olahraga Dunia dekat India semalam membuktikan pelari pecut negara itu berjaya mempamerkan aksi konsisten sepanjang tahun ini.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil berkata, Azeem juga memperoleh mata daripada kejohanan itu, yang hanya menjemput atlet mempunyai standard tertentu untuk bertanding.

“Azeem menunjukkan pencapaian yang baik dan konsisten sepanjang tahun ini. Kejohanan ini sebenarnya bukanlah kejohanan kemuncak atau erbesar, sebaliknya lebih kepada jemputan untuk mengumpul mata bagi seseorang atlet. Hasilnya, pingat emas berjaya diraih olehnya,” katanya ketika dihubungi.

Pada aksi semalam di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) itu tidak berdepan masalah untuk muncul pemenang dengan mencatat masa 10.35s, sekali gus mengatasi pencabar terdekat, Chamod M Yodhasing dari Sri Lanka yang meraih perak dengan 10.43s.

Catatan itu menyamai masa direkodkan Azeem ketika menduduki tempat keempat di Kejohanan Universiti Dunia (WUG) di Jerman, baru-baru ini.

Bagaimanapun, masa yang dilakar semalam masih jauh daripada rekod peribadinya 10.20s yang dilakukan pada Kejohanan NCAA di Jacksonville, Florida, Amerika Syarikat (AS), Mei lalu.

Manshahar turut memberikan pujian kepada seorang lagi wakil negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang merekodkan 10.50s untuk meraih pingat gangsa.

“Bagi atlet muda yang mencapai pencapaian 10.50s dan baru pertama kali didedahkan dalam kejohanan antarabangsa, dia mempunyai masa depan cerah sebagai atlet pecut negara pada masa akan datang.

“Secara ringkasnya, kedua-duanya menunjukkan satu pencapaian positif dan baik,” katanya.

Mengenai pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli yang turut layak ke pentas akhir 100m namun tidak memulakan aksi (DNS), Mansahar berkata, Zaidatul mengambil keputusan menarik diri kerana rasa tidak selesa di paha.

“Keputusannya untuk menarik diri itu satu keputusan yang baik dan tepat sebab kita tak mahu lagi berlaku apa-apa kecederaan yang lebih besar.

“Tapi kecederaan itu bukanlah kecederaan terlalu besar. Saya rasa dalam masa dua tiga hari lagi, dengan rehab dan sebagainya, Insya-Allah Zaidatul akan boleh berlari seperti biasa semula,” katanya.

Majlis Sukan Negara Malaysia