Kuala Lumpur: Qurratu’ain Izdihar Pozi mencuri tumpuan apabila merangkul lima pingat emas di Kejohanan Boling Remaja Asia Bawah 18 Tahun di Doha, sekali gus melonjakkan namanya sebagai bintang masa depan sukan boling negara.
Atlet berusia 17 tahun itu menyapu bersih semua acara individu wanita, perseorangan, beregu, berpasukan, All Events dan Masters dan menjadi tonggak utama kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan kejohanan.
Qurratu’ain, yang juga juara remaja kebangsaan, turut membuktikan keupayaannya bersaing di pentas senior apabila meraih tempat ketiga dalam acara Terbuka Wanita pada Kejohanan Terbuka Hong Kong baru-baru ini.
Peningkatan mendadak dalam sukan ini nyata berpaksikan gabungan bakat semula jadi dan etika kerja yang tinggi.
Mengulas pencapaiannya di Doha, Qurratu’ain mengakui ia masih terasa seperti mimpi.
“Saya cubit diri sendiri juga! Sejujurnya, masih rasa macam mimpi. Tak sangka langsung boleh menang lima emas. Memang tak boleh percaya,” katanya.
“Saya sangat gembira dan bersyukur semuanya berjalan lancar.”
Tumpuan kini terarah ke Kejohanan Boling Remaja Asia Bawah 21 Tahun yang akan berlangsung di Sunway Mega Lanes hujung bulan ini, dengan Qurratu’ain antara tiga wakil dari skuad Doha yang turut disenaraikan, bersama Adelia Nur Syazalee dan Wan Muhammad Ikram Mazlan dalam skuad lapan orang negara.
“Saya akan cuba sebaik mungkin untuk kekalkan momentum ini,” kata Qurratu’ain.
“Cabaran di peringkat Bawah 21 pastinya berbeza, tapi saya hanya mahu beri yang terbaik dan terus belajar sepanjang kejohanan.”
Mengimbas semula detik penting dalam kariernya, Qurratu’ain menyifatkan kejayaan muncul juara remaja kebangsaan tahun lalu sebagai titik tolak kepada keyakinannya hari ini.
“Menang gelaran remaja kebangsaan tahun lepas beri saya lonjakan besar dari segi keyakinan diri. Ia jadi titik perubahan yang mendorong saya untuk bekerja lebih keras dan lebih percaya pada diri sendiri.”