Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) meminta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk memilih satu daripada dua pasukan berbasikal profesional negara bagi mewakili Malaysia ke Sukan SEA Thailand bermula 9 sehingga 20 Disember depan.
MSN mahu PKBM memilih sama ada menghantar pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) atau Malaysia Pro Cycling (MPC) iaitu kedua-duanya adalah pasukan benua UCI, ke temasaya dwitahun itu.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, peruntukan sebanyak RM300,000 telah diluluskan dan sebahagiannya sudah pun disalurkan kepada PKBM bagi tujuan persediaan ke temasya dwitahunan itu.
Menurut beliau, sebarang dakwaan kononnya MSN tidak membantu dari sudut keperluan atau persiapan tidak sepatutnya timbul memandangkan tanggungjawab memilih pasukan terletak sepenuhnya di bahu PKBM.
“Untuk makluman, kita dengan PKBM telah pun mengadakan perbincangan pada bengkel penyenaraian atlet ke arah temasya Sukan SEA pada 16 Januari yang lalu.
“Kedua-dua pihak bersetuju bahawa pasukan negara bagi acara lebuh raya akan dibarisi pelumba profesional. Namun, terpulang kepada PKBM untuk pilih sama ada TSG atau MPC untuk ke temasya nanti.
“MSN sudah menyalurkan sebahagian daripada peruntukan RM300,000 bagi persiapan ke Sukan SEA kepada PKBM dan oleh itu, saya rasa tidak sepatutnya timbul isu berkaitan persiapan pasukan yang tidak dilakukan dengan baik,” katanya selepas Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan (SAM), hari ini.
Sementara itu, Jefri berkata, PKBM ada memohon pembelian basikal, namun jika Terengganu Cycling Team (TSG) dipilih, keperluan itu tidak timbul kerana pasukan itu sudah memiliki kelengkapan yang diperlukan.
“Kalau benar ada perancangan baharu atau tuntutan lain, saya seru pihak PKBM datang kembali ke meja perbincangan dan kita boleh teliti apa lagi keperluan mereka ke Sukan SEA nanti,” katanya.
Arena Metro sebelum ini melaporkan Malaysia berisiko kehilangan kilauan emas dalam acara berbasikal lebuh raya di Thailand sekiranya pelumba profesional daripada pasukan TSG dan MPC menarik diri susulan isu kekangan bajet.
Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Lebuhraya PKBM, Azman Abu Samah yang memaklumkan, kedua-dua pasukan sudah memberi bayangan untuk tidak menyertai temasya itu sekiranya PKBM gagal memenuhi permintaan kewangan yang dikemukakan.