Kuala Lumpur: Atlet boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah dan jaguh angkat berat para, Bonnie Bunyau Gustin dinobatkan selaku Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik 2024 pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 Plus yang berlangsung hari ini.
Farah Ain mengetepikan cabaran hebat daripada ratu tenpin boling, Sin Li Jane dan juara dunia wushu, Tan Cheong Min, selain dua calon lelaki iaitu pelari menara, Soh Wai Chin dan gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Atlet berusia 24 tahun itu mencuri perhatian selepas meraih pingat emas acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada April tahun lalu.
Kejayaan Farah Ain sekali gus meneruskan dominasi boling padang negara selepas pasangan Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi merangkul gelaran sama tahun lalu.
Pada Mei lalu, Farah Ain dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 sekali gus muncul atlet boling padang wanita negara pertama meraih gelaran berkenaan.
“Saya sangat bersyukur, sekali lagi saya dapat mengangkat nama boling padang dan membuktikan bahawa sukan ini bukan calang-calang,” kata Farah Ain ketika ditemui selepas majlis penganugerahan yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Sementara itu, Bonnie akhirnya meraih gelaran Atlet Para Terbaik selepas dua kali tewas kepada jaguh badminton para, Cheah Liek Hou, hasil kejayaannya mempertahankan emas Paralimpik di Paris serta memecahkan rekod dunia dengan angkatan 232kg dalam kategori 72kg.
Bonnie menewaskan barisan calon lain iaitu jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli; pemegang rekod lompat jauh, Datuk Abdul Latif Romly dan pelari pecut, Eddy Bernard.
Bonnie bagaimanapun tidak dapat hadir dan dirinya diwakili oleh Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.
Selaku pemenang utama, Nor Farah dan Bonnie membawa pulang wang tunai RM10,000 serta trofi eksklusif sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada arena sukan tanah air.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang. Pertandingan bagi setiap kategori tahun ini cukup sengit dan saya yakin semua keputusan dibuat dengan pertimbangan yang sewajarnya oleh jawatankuasa SAM. Saya juga gembira melihat ramai pemenang wanita tahun ini iaitu satu perkembangan yang cukup membanggakan,” kata Hannah.