Kuala Lumpur: Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) sentiasa memandang serius prosedur operasi standard (SOP) yang membabitkan keselamatan atlet bagi mengelakkan sebarang tragedi yang tidak diingini berlaku.
Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, risiko sukan angkat berat memang tinggi dan sekiranya tiada langkah diambil, ia mampu membahayakan nyawa atlet itu sendiri sama ada ketika atau selepas melakukan angkatan.
“Amalan kita pada setiap kejohanan di peringkat kebangsaan, sememangnya kita menitikberatkan isu keselamatan kerana angkat berat agak berisiko kerana membabitkan besi dan perkara-perkara yang boleh memudaratkan.
“Pernah juga ada yang mengangkat, kemudian pitam dan ada yang terjatuh dan sebagainya. Sebab itu, dalam semua kejohanan di peringkat kebangsaan, kita memang memanggil atau berkolaborasi dengan pejabat kesihatan, selain hospital serta ada doktor yang bertugas bersama pasukan mereka. SOP ini memang kita laksanakan sejak dahulu lagi,” katanya.
Selain itu, ketika ditanya sama ada pernah berlaku kemalangan yang serius, beliau menyatakan bahawa belum pernah terjadi kerana pihak persatuan dan pengurusan sentiasa memberi tumpuan terhadap aspek keselamatan terlebih dahulu.
Malah, atlet yang bertanding di luar negara juga akan disertai pasukan mereka bagi memantau keadaan atlet dari semasa ke semasa sepanjang pertandingan.
“Setakat ini, tiada kejadian serius tetapi pernah berlaku kejadian pitam dan terjatuh namun kita dapat tangani dengan pantas disebabkan adanya prosedur yang telah ditetapkan untuk menangani situasi sebegitu.
“Malah, jika ada atlet berdepan masalah seperti tidak dapat mengangkat beban, sakit pinggang dan sebagainya, kita sudah ada SOP yang ditetapkan untuk mengatasi perkara itu dengan segera.
“Dalam kejohanan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, pasukan perubatan memang merupakan sebahagian daripada pasukan teknikal yang wajib ada bagi sukan angkat berat,” katanya.