Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) bakal melaksanakan ujian doping secara menyeluruh pada Kejohanan Sepaktakraw Piala Raja Thai ke-38 yang dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 27 Julai ini di Hat Yai, Songkhla, Thailand.
Menurut Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, semua kontinjen dan pegawai pasukan wajib mematuhi Peraturan Anti-Doping ISTAF 2021 yang sudah diedarkan oleh sekretariat persekutuan itu.
“Setiap pengurus pasukan perlu menyerahkan Borang Pengisytiharan Anti-Doping ISTAF kepada Pegawai Anti-Doping ISTAF, Syed Azmir Syed Ahmad, semasa Mesyuarat Pengurus Pasukan pada 21 Julai ini, jam 7 malam,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, borang berkenaan perlu disertakan bersama salinan pasport semua pemain yang didaftarkan untuk kejohanan berprestij itu.
“Ujian doping akan dilaksanakan mengikut garis panduan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dengan kerjasama Agensi Anti-Doping Kebangsaan Thailand (NADO)
“Stesen kawalan doping akan disediakan di lokasi kejohanan, manakala analisis sampel dilakukan di makmal bertauliah WADA,” katanya.
Tambahnya, atlet yang dipilih untuk menjalani ujian doping akan diiringi pegawai pasukan sepanjang proses, dengan bantuan daripada pegawai Anti-Doping ISTAF.
“Proses pengambilan sampel akan dilaksanakan ketika perlawanan akhir setiap acara dan pengurusan pasukan serta jurulatih diberi tanggungjawab penuh untuk memastikan pematuhan sepenuhnya,” katanya.
Malah, jika ada pemain atau pegawai yang enggan menjalani ujian doping pada kejohanan kali ini bakal berdepan hukuman penggantungan selama empat tahun.
Dalam pada itu, Halim turut memaklumkan satu taklimat rasmi bakal diadakan semasa mesyuarat pengurus pasukan bagi memperincikan prosedur antidoping serta menjelaskan tanggungjawab setiap pasukan.
Beliau juga mengingatkan sebarang pelanggaran terhadap peraturan akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan ISTAF Anti-Doping Rules 2021.
Antara hukuman yang boleh dikenakan termasuk penggantungan sementara atlet, pembatalan keputusan, serta penarikan semula pingat, mata dan hadiah.
“Sekiranya lebih daripada dua pemain dalam satu pasukan didapati melanggar peraturan, pasukan terbabit boleh dikenakan hukuman kolektif seperti pemotongan mata, pembatalan penyertaan atau penyingkiran terus dari kejohanan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, semua pasukan perlu memandang serius perkara itu dan memastikan pemantauan rapi terhadap pematuhan atlet masing-masing.
Hal ini kerana, pihak mereka tampil lebih tegas dalam usaha menegakkan integriti dan kesaksamaan dalam sukan sepak takraw di peringkat dunia.
Sementara itu, seramai 18 negara akan berentap dalam kejohanan yang dijadual berlangsung di Pusat Beli-belah Central Festival, Hat Yai.
Antara acara yang dipertandingkan di Divisyen Perdana ialah kuadran lelaki, kuadran wanita dan kuadran campuran, manakala acara gelung (hoop) pula terbuka kepada semua negara peserta.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Laos, Myanmar dan Korea Selatan, manakala juara bertahan Thailand mengetuai Kumpulan A bersama Brunei, Vietnam, India dan Singapura.
Terdahulu, Thailand muncul juara acara berpasukan pada edisi ke-37 selepas menewaskan Malaysia.