KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pelantikan bekas pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin sebagai jurulatih skuad perseorangan kebangsaan berkuat kuasa 1 Oktober ini.
Presiden BAM, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelantikan Iskandar adalah bagi mengukuhkan pasukan perseorangan negara dan membantu Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Kenneth Jonassen.
“Kita sudah menjalani rundingan dan beliau akhirnya bersetuju dengan terma dan syarat yang ditetapkan oleh BAM pada minggu lalu. Justeru, kita mengumumkan beliau akan kembali ke Malaysia dari Ireland,” kata Zafrul pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.
Iskandar, 34, ketika ini sedang berkhidmat selaku ketua jurulatih perseorangan Ireland selepas menyertai skuad kebangsaan negara Eropah itu sejak 2022.
Sepanjang bersama Ireland, Iskandar yang juga naib juara Kejohanan Remaja Asia 2009 berjaya membimbing pemain perseorangan Nhat Nguyen melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Selain menduduki ranking ke-31 dunia ketika ini, Nguyen juga menjadi pemain yang menyingkirkan pemain negara, Leong Jun Hao di pusingan pertama Masters Malaysia 2025.
Sepanjang kariernya sebagai pemain, Iskandar pernah berlatih di bawah bimbingan dua jurulatih tersohor negara iaitu Datuk Misbun Sidek dan Hendrawan yang banyak mencorak permainannya di pentas antarabangsa.
Setakat ini, Jonassen dibantu Alvin Chew Ming Yao, K Yogendran dan Misbun Ramdan Misbun dalam kategori perseorangan.