Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives June 29, 2025

Jonah unggul perbaharui rekod kejohanan

Kuala Terengganu: Atlet lontar peluru Universiti Malaya (UM), Jonah Chang membuktikan kehebatannya yang tersendiri apabila berjaya mencipta rekod baharu pada Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) Sirkit 2 di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), petang tadi.

Atlet kebangsaan kelahiran Sarawak itu mencatat lontaran sejauh 18.39 meter (m) untuk memadam rekod lama kejohanan miliknya sendiri yang dicipta tahun lalu dengan lontaran 18.35m.

Atlet berusia 22 tahun itu merangkul pingat emas selepas meninggalkan jauh atlet Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nathaniel Najib yang hanya mencatat lontaran sejauh 13.88m.

Manakala atlet Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohamad Shahrul Mohamad Tarmizi terpaksa akur selepas hanya meraih pingat gangsa dengan lontaran 12.95m.

Bagaimanapun lontaran pemenang pingat emas pada Kejohanan Trek dan Padang Queensland di Brisbane, Australia Mac lalu kurang hanya 0.50m untuk mengatasi rekod kebangsaan miliknya dengan catatan 18.89m.

“Impian saya sudah tentu untuk memecah rekod kebangsaan milik saya sendiri, tapi dapat memperbaharui rekod kejohanan juga milik saya ianya sudah begitu menggembirakan.

“Bagaimanapun saya masih berpeluang untuk memecah rekod kebangsaan pada grand final di UPM pada November ini.

“Namun yang penting saya perlu perbaiki lagi teknik dan prestasi dengan bimbingan jurulatih” katanya.

KEJOHANAN GOLF AMAL MSN 2025

Majlis Sukan Negara menerusi Kelab MSN telah menganjurkan Kejohanan Golf Amal MSN 2025 pada Ahad, 29 Jun 2025.

Tujuan utama kejohanan yang diadakan di The Mines Resort & Golf Club ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan dan ukhwah antara semua pemegang taruh MSN yang terlibat secara langsung dalam pembangunan sukan negara termasuk sektor korporat dan pengamal media.

Kejohanan ini juga menjadi platform untuk mewujudkan peluang kerjasama strategik, perkongsian pintar dan hubungan yang lebih erat antara MSN dengan semua pihak yang terlibat.

Penganjuran kali ini disertai 120 pemain terdiri daripada wakil kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, organisasi sukan negara, persatuan sukan kebangsaan, sektor korporat dan pengamal media.

Ini merupakan penganjuran kali kedua selepas penganjuran kali pertama pada 2019.

KURSUS JURULATIH BOLA JARING TAHAP 1, 2025

Kursus Jurulatih Bola Jaring Tahap 1, 2025 telah diadakan pada 21 hingga 26 Jun bertempat di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Seramai 29 peserta wanita telah berjaya menamatkan kursus selama 5 hari ini yang dijalankan dengan kerjasama Sekretariat Wanita Dalam Sukan, MSN.

Kursus ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita dalam bidang kejurulatihan, merangkumi teori, praktikal, ujian kecergasan dan penilaian akhir.

PSM dapat sokongan penuh tukar nama kepada persekutuan

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mendapat sokongan penuh daripada jawatankuasa untuk menukar nama badan induk yang sedia ada kepada Persekutuan Sepak Takraw Malaysia selepas pindaan perlembagaan yang dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dipersetujui, hari ini.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, tujuan utama pertukaran nama itu adalah kerana ingin kelihatan lebih seragam dengan beberapa badan induk yang ada di Malaysia dan pihaknya akan menghantar permohonan itu kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) bagi mendapatkan kelulusan.

Katanya, ketika ini, mereka masih menggunakan nama PSM dan hanya akan bertukar secara rasmi selepas mendapat persetujuan rasmi daripada PJS mengenai perkara berkenaan.

“Semua pindaan perlembagaan akan berkuat kuasa selepas dapat kelulusan daripada PJS dan selagi tak dapat kelulusan mereka, kita tak boleh lagi menggunakan pindaan ini.

“Kita tukar sebab badan induk sukan yang lain pun banyak sudah menggunakan persekutuan. Perkara ini juga kita ada bincangkan sebelum ini juga supaya jelas perbezaan antara kita selaku badan induk PSM dengan ahli gabungan negeri-negeri yang lain.

“Mereka memang sudah menggunakan persatuan. Kita di peringkat kebangsaan, kita gunakan persekutuan,” katanya selepas AGM PSM di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Terdahulu, pada AGM yang berlangsung hari ini, tiada kejutan apabila kepimpinan terdahulu terus mendapat kepercayaan perwakilan untuk memimpin PSM bagi penggal 2025–2028.

Sumali yang menang tanpa bertanding untuk jawatan presiden akan dibantu oleh timbalan presiden iaitu Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan yang mendapat 49 undian dan Datuk Abdul Halim (47 undian).

Sementara untuk Naib Presiden, Datuk Abu Jimi Samat (51 undian), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (48 undian) dan Wan Mohd Husni Abdullah melengkapkan kuota dengan 44 undian.

MSN sambut baik guna perenang warisan

Kuala Lumpur: Hasrat Akuatik Malaysia (MAS) untuk mencari perenang warisan mendapat lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memperkuatkan skuad negara pada kejohanan akan datang.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana negara lain turut mengambil langkah yang sama seperti Singapura dan Filipina.

“Kita rasa ini satu langkah yang baik memandangkan banyak negara sudah pun mula mencari atlet-atlet warisan mereka di negara lain.

“Negara Filipina sendiri pun memulakan program berkenaan semasa mereka menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2019,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Tambahnya, MSN masih menunggu laporan serta maklumat rasmi daripada MAS mengenai perenang yang dikenal pasti untuk mewakili negara pada masa akan datang.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa apa yang dilakukan oleh MAS tidak akan menjejaskan kewangan serta peruntukan daripada MSN kepada badan induk itu.

“Sebelum ini pun, ada atlet kita yang bermastautin ataupun berpusat di luar negara. Mereka hanya diberi bantuan sekiranya layak memasuki program Podium atau program-program lain. Tidak ada sebarang implikasi kewangan tambahan. Sebagaimana atlet-atlet lain, mereka perlu melepasi kriteria yang ditetapkan oleh MSN untuk memasuki program, mahupun oleh MOM (Majlis Olimpik Malaysia) untuk mewakili negara,” katanya.

Untuk rekod, negara jiran seperti Singapura antara yang sangat aktif melaksanakan pendekatan ini dan hasilnya, mereka menjadi kuasa besar dalam acara berkenaan terutama di pentas Sukan SEA.

Justeru, pihak berwajib kini dilihat memberi tumpuan terhadap beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, New Zealand dan Australia yang dipercayai mempunyai perenang berdarah Malaysia, sekali gus mampu membawa negara melangkah lebih jauh.

Terjun lubuk emas di Sukan Sea- Shahidan Kassim

Kuala Lumpur: Skuad terjun akan terus menjadi harapan utama buat Akuatik Malaysia (MAS) dalam mendapatkan lebih banyak pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember nanti.

Menurut Presiden MAS, Datuk Seri Shahidan Kassim, prestasi atlet terjun Malaysia berada di kelas tersendiri dan sukar negara lain menggugat penguasaan dalam acara berkenaan.

Perkara itu secara tidak langsung memberi keyakinan tinggi buat pihak pengurusan pada temasya dwi tahunan itu nanti.

“Matlamat kita adalah untuk mencapai yang terbaik di Sukan SEA nanti. Kita sudah menetapkan matlamat dan atlet yang kita jangka untuk dapatkan emas itu sudah pun dimaklumkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan menteri (Hannah Yeoh) akan umumkan matlamat yang kita nak capai itu nanti.

“Yang penting, terjun ini dikuasai oleh Malaysia dan semua orang tahu. Dulu pernah dipertandingkan kira-kira 11 pingat emas dan kita dapat semua. Kita terus menguasai dan kita juga menempa kejayaan di peringkat Olimpik dengan meraih perak dan gangsa.

“Jadi terjun ini, kita akan terus berusaha untuk menguasai keadaan. Namun begitu, untuk jumlah pingat itu (untuk akuatik), saya tak boleh sebut, biar menteri yang sebut kerana menteri pun tahu mengenai usaha-usaha yang dilakukan untuk sukan akuatik ini,” katanya.

Antara atlet yang dijangka akan mewakili negara adalah Enrique Maccartney Harold, kimberly bong dan Lee Yiat Qing selepas cemerlang menyumbang emas pada edisi lalu.

Untuk rekod, pada SEA Kemboja 2023, skuad terjun negara menyapu bersih empat emas yang ditawarkan selain berjaya meraih dua perak serta satu gangsa untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan selepas turut membolot kesemua lapan emas di Vietnam 2021.

Selain itu, Shahidan turut memaklumkan barisan jurulatih renang kini dalam fasa meningkatkan persediaan ke tahap lebih baik bagi membolehkan wakil Malaysia nanti mampu memberi saingan kepada musuh tradisi, Singapura.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan MAS bakal berwajah baharu apabila skuad renang negara akan tampil lebih kuat dengan kehadiran perenang warisan dari luar negara.

Timbalan Presiden MAS, Marilyn Chua berkata, badan induk itu sudah mula gerak kerja bagi mengenal pasti atlet yang mempunyai pertalian darah yang sah untuk direkrut mewakili negara.

Katanya, mereka mengenal pasti beberapa perenang, namun ia bukan tiket automatik untuk terus berada dalam skuad renang negara.

Majlis Sukan Negara Malaysia