Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Tee Kai Wun-Man Wei Chong melaungkan amaran bahawa mereka akan cuba merampas tiket daripada dua beregu utama negara untuk layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Bagi Kai Wun, dia menyedari ketika ini, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani selaku beregu nombor satu negara dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik di ranking kedua dunia dilihat antara calon terbaik untuk ke LA28, namun dirinya tidak akan memberi laluan mudah dan bersedia menjadi pengacau buat senior mereka.
“Kami akan terus berjuang hingga ke penghujung. Semua pemain termasuk Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Choong Hon Jian-Muhamad Haikal Nazri juga ada cita-cita ke Olimpik. Jadi, selagi belum berakhir, kami semua akan terus berjuang,” katanya.
Untuk makluman, mengikut peraturan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil beregu di Olimpik sekiranya kedua-dua gandingan berada dalam kelompok lapan terbaik selepas tamat pusingan kelayakan.
Tambahnya, mereka mahu memanfaatkan sepenuhnya peluang selepas dipilih berada dalam program Road to Gold (RTG) buat kali pertama dan melihat itu satu sokongan yang besar dari pelbagai sudut.
Selain itu, beregu kelapan dunia itu optimis prestasi konsisten yang ditampilkan dalam beberapa kejohanan terakhir mampu diteruskan pada kejohanan akan datang bermula di Terbuka Jepun bulan depan.
Katanya, jika melihat prestasi semasa, dia dan pasangannya sudah berjaya melakukan peningkatan yang sangat baik dan mereka tidak mahu dibuai mimpi indah dengan prestasi sedemikian kerana bimbang kualiti permainan akan merudum selepas ini.
“Saya rasa, kita sekarang lebih bagus daripada beberapa tahun yang lalu. Sebab itu kita perlu memastikan konsistensi itu diteruskan kerana kita takut, bermula Terbuka Jepun (15-20 Julai), prestasi kita mula jatuh.
“Tetapi, kita akan cuba yang terbaik untuk menang semua (pertandingan) dan memberikan persembahan terbaik dalam setiap kejohanan yang disertai,” katanya.
Untuk rekod, setakat ini, mereka sudah berjaya meraih dua kejuaraan iaitu Masters Indonesia dan Masters Malaysia, selain mara lebih jauh dalam beberapa pertandingan lain.