Kuala Lumpur: Senarai akhir jumlah kontinjen negara yang beraksi di Sukan Sea Thailand, Disember depan, bakal diketahui selewat-lewatnya September ini dengan proses pemilihan atlet kini sudah memasuki fasa akhir.
Menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, proses mengenal pasti senarai panjang atlet sedang dilakukan ketika ini dan perlu dimuktamadkan sebelum penghujung Julai nanti dan kemudian disenaraikan secara rasmi.
Katanya, satu mesyuarat penyelarasan bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Institut Sukan Negara (ISN) berlangsung dua minggu lalu bagi merangka persiapan rapi ke temasya dwitahunan itu.
“Ketika ini, kita sedang kenal pasti ‘long list’ atlet. Senarai itu perlu disahkan sebelum akhir pada Julai dan senarai pendek akan dimuktamadkan pada September nanti.
“Kontinjen negara dijangka menyertai 48 daripada 50 jenis sukan yang dipertandingkan, dengan anggaran kekuatan antara 600 hingga 700 orang atlet,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media perbincangan meja bulat MSN bersama Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Persatuan Sukan Kebangsaan, hari ini.
Perbincangan itu membabitkan 20 jenis sukan teras yang diselaras pelaksanaannya di semua peringkat, bermula dari sekolah hingga ke pentas kebangsaan.
Mengulas lanjut mengenai penyelarasan itu, Jefri berkata, ia adalah susulan kepada kelulusan senarai sukan teras oleh Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) pada 14 April lalu.
“Menerusi perjumpaan hari ini, kita dapat selaraskan program ini.
“Paling penting, semua agensi kini akan melaksanakan program berdasarkan senarai 20 sukan sama di peringkat masing-masing,” katanya.
Senarai sukan teras bagi tempoh 2025-2028 merangkumi akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal (trek), boling padang, e-sukan, gimnastik (artistik dan gimrama) dan hoki.
Selain itu, karate, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, ping pong, sepak takraw, silat, skuasy, taekwondo, tenpin boling dan wushu.