Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan perbincangan secara terperinci bersama Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk menetapkan hala tuju Akademi Sepak Takraw Malaysia (ASTM) selepas kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM6 juta.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya tidak membina stadium baharu sebaliknya PSM akan menaik taraf kemudahan yang sedia ada untuk dijadikan tempat pembangunan atlet sepak takraw pada masa akan datang.
Jelasnya, prestasi skuad sepak takraw Malaysia dalam beberapa kejohanan antarabangsa juga menjadi faktor utama peruntukan itu diluluskan sekali gus bakal membuka dimensi baharu buat sukan berkenaan.
“Tanah berkenaan adalah milik Institut Sukan Negara (ISN) dan kita memberikan pajakan kepada PSM untuk mereka buat akademi dan tempat khas yang mereka namakan stadium untuk sepak takraw.
“Ini adalah satu kerjasama yang baik kerana KBS kini tidak mahu membina kemudahan baharu dan kita tidak akan membina akademi atau stadium untuk semua jenis sukan. Kita ada 103 jenis sukan, tak mampu buat semuanya.
“Tetapi kita tahu sepak takraw adalah sukan yang semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia dan ia adalah sukan tradisi. Maka kita melihat kepada populariti sepak takraw serta kejayaan mereka dalam Piala Dunia (2024) dan Piala Asia (2025) baru-baru ini,” katanya.
Tambah Hannah, perbincangan antara KBS bersama PSM juga akan diadakan bagi memastikan projek itu dapat dijalankan mengikutkan perancangan seperti ditetapkan agar peruntukan yang diberikan itu boleh digunakan sebaik mungkin.
“Kerana saya sendiri tidak menyangka beliau akan meluluskan RM6 juta. Tetapi ada syarat-syarat tertentu dan saya akan mengadakan perbincangan dengan PSM secepat mungkin. Hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim ) ialah supaya akademi ini direalisasikan secepat mungkin sebelum pembentangan bajet (hujung tahun nanti),” katanya.