Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives June 15, 2025

Speedy Tigers bangkit ikat Pakistan

Kuala Lumpur: Speedy Tigers mempamerkan kebangkitan sebanyak dua kali untuk mengikat Pakistan 3-3 dalam perlawanan pertama Kumpulan B saingan Piala Negara-Negara yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Meskipun beraksi di halaman sendiri dan mendapat sokongan peminat, skuad kendalian Sarjit Singh ketinggalan 0-2 pada suku pertama menerusi gol Ahmed Nadeem minit ke-6 dan Abdul Rehman minit ke-9.

Untuk suku kedua dan ketiga, kedua-dua pasukan terus meningkatkan intensiti permainan dengan serangan demi serangan, tetapi Pakistan serta Malaysia berjaya bertahan dengan sangat baik.

Namun begitu, skuad kendalian Sarjit Singh mula menunjukkan permainan sebenar apabila bangkit menerusi dua gol pantas sumbangan Fitri Saari minit ke-49 dan selang tiga minit kemudian, Syed Syafiq Syed Cholan bijak menyamakan kedudukan 2-2 menerusi pukulan sudut penalti.

Kegembiran Speedy Tigers hanya bertahan seketika apabila anak buah Tahir Zaman mendapatkan gol ketiga untuk mendahului 3-2 melalui Rana Waheed pada minit ke-54.

Pujian perlu diberikan kepada pemain negara apabila mereka terus menyerang untuk mendapatkan gol ketiga dan usaha itu membuahkan hasil positif selepas Syed sekali lagi memanfaatkan peluang menerusi pukulan sudut penalti bagi menyamakan kedudukan 3-3 minit ke-59.

Biarpun kedua-dua pasukan mempunyai beberapa peluang untuk mendapatkan jaringan, namun kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat. Esok Malaysia akan turun dalam perlawanan kedua menentang New Zealand.

SRG.OG raih kejuaraan hatrik

Kuala Lumpur: Selangor Red Giants (SRG.OG) mencipta sejarah baharu apabila merangkul kejuaraan hatrik Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Malaysia untuk Musim ke-15 (MPL MY 15) selepas menewaskan Homebois 4-0 pada Grand Final, hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, ramai menjangkakan SRG.OG bakal menerima tentangan sengit daripada lawan mereka seperti mana pertemuan sebelum ini di Upper Bracket final, sebaliknya terjadi apabila juara bertahan itu menunjukkan jurang prestasi yang ketara antara kedua-dua pasukan.

SRG.OG ternyata berada di kelas tersendiri apabila hero yang dipilih dalam setiap permainan itu begitu sukar ditentang oleh Homebois dan mereka begitu mendominasi keseluruhan empat perlawanan.

Sementara itu, jurulatih mereka, Michael Angelo Bocado atau Arcadia tetap berpuas hati dengan prestasi barisan pemainnya kerana mereka beraksi seperti dirancang dan mempamerkan permainan penuh meyakinkan.

“Saya tetap bangga dengan setiap pemain kerana mereka meneruskan momentum cemerlang sebelum ini untuk kita menang perlawanan hari ini selepas kita berusaha keras sepanjang musim ke-15,” katanya.

Selepas ini, SRG.OG dan Homebois akan mempersiapkan pasukan untuk memastikan mereka dapat memberi saingan terbaik pada Piala Pertengahan Musim (MSC) dalam Piala Dunia E-sukan 2025 di Riyadh, Arab Saudi bulan hadapan.

Anak didik Arcadia sudah pasti mempunyai misi tersendiri iaitu mempertahankan kejuaraan selepas mencipta sejarah pasukan pertama muncul juara pada kejohanan berkenaan tahun lalu untuk membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$1 juta (RM4.6 juta).

Shahmalarani idam tamatkan kemarau emas

Kuala Lumpur: Atlet karate negara, C Shahmalarani berazam untuk menampilkan prestasi cemerlang sekali gus menamatkan kemarau emas di Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) yang bakal berlangsung di Brunei dari Selasa sehingga 19 Jun ini.

Jelasnya, dia kini berada pada tahap motivasi terbaik selepas memenangi pingat perak di Kejohanan Karate Asia (AKF) di Uzbekistan bulan lalu dan melihat SEAKF sebagai medan terbaik untuk dirinya meneruskan momentum itu, sambil menilai persiapan serta kekuatan pasukan lawan yang akan menyertai Sukan Sea Thailand nanti.

“Saya belum pernah menang emas di SEAKF, jadi kali ini saya benar-benar mahu menamatkan kemarau itu.

“Selain itu, SEAKF adalah kejohanan penting sama seperti Sukan Sea yang bakal berlangsung hujung tahun ini. Ini adalah peluang terbaik untuk kami mengkaji kekuatan lawan lebih awal.

“Ada negara yang akan menghantar atlet pelapis, ada juga yang membawa atlet berpengalaman. Jadi, ia penting untuk kami mengumpul maklumat dan pengalaman bersaing dengan atlet serantau,” katanya.

Atlet kelahiran Selangor itu sebelum ini pernah memenangi pingat perak acara kumite wanita bawah 50 kilogram (kg) pada edisi 2023 di Manila, manakala tahun lalu pula membawa pulang gangsa di Bangkok.

Justeru, Shahmalarani menyedari dirinya turut berada dalam senarai lawan yang mahu ditewaskan, namun dia sudah bersedia untuk berdepan situasi sedemikian.

“Saya tahu ramai yang akan cuba tewaskan saya, itu perkara biasa dalam mana-mana sukan. Jadi, saya perlu lakukan yang terbaik. Memang ada tekanan, tetapi itu juga biasa dalam sukan, terutama dalam seni mempertahankan diri,” katanya.

BAM cari formula buat perseorangan lelaki kembali menyengat

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan merangka beberapa langkah gerak kerja untuk memastikan pemain perseorangan lelaki negara kembali menyengat di kejohanan kompetitif dan bukan sekadar menjadi pelengkap pertandingan sahaja.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau sentiasa mengikuti perkembangan setiap atlet malah akan mengadakan sesi pertukaran pendapat bersama barisan jurulatih bagi mencari solusi terbaik agar pemain negara mampu tampil selaku pencabar utama.

“Bagi saya, masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Saya sudah berbincang dengan jurulatih dan kita tahu terutamanya dalam acara perseorangan, masih banyak yang perlu diperbaiki dan kita mahu lihat perkara itu dilaksanakan,” katanya.

Untuk makluman, ketika ini, di bawah BAM, negara mempunyai beberapa pemain seperti Leong Jun Hao dan Justin Hoh namun dua pemain ini dilihat masih belum berada di tahap terbaik untuk mencabar kejuaraan dalam setiap pertandingan yang disertai.

Sementara itu, Ng Tze Yong pula dilihat bakal menjadi sandaran utama selepas kembali daripada kecederaan belakang. Tetapi, nasib dia tidak begitu baik apabila perlu berehat sekali lagi ekoran mengalami kecederaan serius pada ligamen lutut (ACL) dan bakal menjalani pembedahan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Tengku Zafrul turut gembira melihat pencapaian pemain negara dalam beberapa kejohanan terakhir terutama beregu lelaki dan wanita negara kerana berjaya meraih kejuaraan. Beliau berharap pemain dapat mengekalkan prestasi itu untuk kejohanan akan datang.

“Apa yang berlaku ini menunjukkan hasil kerja jurulatih, terutamanya bahagian beregu. Secara adilnya, memang nampak hasilnya (kejuaraan). Satu lagi ialah soal mengekalkan prestasi ini.

“Sebab kita ada empat kejohanan dalam tempoh masa yang sangat singkat, iaitu Terbuka Kanada, Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Macau,” katanya.

Antara pencapaian terbaik skuad badminton negara pada bulan lalu adalah muncul juara di Terbuka Thailand (Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah), Masters Malaysia (Tee Kai Wun-Man Wei Chong), dan Terbuka Singapura (Aaron-Wooi Yik).

KSB jumpa PSM bincang hala tuju Akademi Sepaktakraw

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan perbincangan secara terperinci bersama Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk menetapkan hala tuju Akademi Sepak Takraw Malaysia (ASTM) selepas kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM6 juta.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya tidak membina stadium baharu sebaliknya PSM akan menaik taraf kemudahan yang sedia ada untuk dijadikan tempat pembangunan atlet sepak takraw pada masa akan datang.

Jelasnya, prestasi skuad sepak takraw Malaysia dalam beberapa kejohanan antarabangsa juga menjadi faktor utama peruntukan itu diluluskan sekali gus bakal membuka dimensi baharu buat sukan berkenaan.

“Tanah berkenaan adalah milik Institut Sukan Negara (ISN) dan kita memberikan pajakan kepada PSM untuk mereka buat akademi dan tempat khas yang mereka namakan stadium untuk sepak takraw.

“Ini adalah satu kerjasama yang baik kerana KBS kini tidak mahu membina kemudahan baharu dan kita tidak akan membina akademi atau stadium untuk semua jenis sukan. Kita ada 103 jenis sukan, tak mampu buat semuanya.

“Tetapi kita tahu sepak takraw adalah sukan yang semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia dan ia adalah sukan tradisi. Maka kita melihat kepada populariti sepak takraw serta kejayaan mereka dalam Piala Dunia (2024) dan Piala Asia (2025) baru-baru ini,” katanya.

Tambah Hannah, perbincangan antara KBS bersama PSM juga akan diadakan bagi memastikan projek itu dapat dijalankan mengikutkan perancangan seperti ditetapkan agar peruntukan yang diberikan itu boleh digunakan sebaik mungkin.

“Kerana saya sendiri tidak menyangka beliau akan meluluskan RM6 juta. Tetapi ada syarat-syarat tertentu dan saya akan mengadakan perbincangan dengan PSM secepat mungkin. Hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim ) ialah supaya akademi ini direalisasikan secepat mungkin sebelum pembentangan bajet (hujung tahun nanti),” katanya.

MSN minta laporan rasmi daripada Irfan isu ugutan

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) meminta atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin membuat laporan rasmi kepada pihaknya mengenai dakwaan diugut oleh Olahraga Malaysia (MA) untuk tindakan lanjut.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, setakat semalam, pihaknya masih belum menerima aduan mengenai perkara itu dan disebabkan isu berkenaan mendapat perhatian ramai, beliau berharap mereka yang terlibat akan tampil ke depan untuk mengemukakan laporan secara terus kepada MSN.

“Saya pun masih belum menerima sebarang laporan berkenaan perkara ini. Saya tunggu laporan penuh daripada pihak MA dan juga daripada pengurus pasukan (Irfan) sebelum saya membuat keputusan,” katanya.

Sebelum ini, atlet berusia 30 tahun itu mendakwa dirinya menerima ugutan berbaur ancaman daripada pengurusan MA susulan kenyataan terbukanya kepada media selepas kejayaan membawa pulang pingat gangsa dari Kejohanan Olahraga Asia 2025 di Gumi, Korea Selatan, baru-baru ini.

Katanya, beberapa pegawai tertinggi MA didakwa cuba menekan dan mengugutnya supaya mematuhi arahan tertentu, termasuk sepatutnya tidak menyebut individu tertentu dalam ucapan penghargaan di depan media.

Namun, Presiden MA, Datuk Seri Shahidan Kassim pula segera tampil dan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Irfan bahawa beliau pernah mengeluarkan ugutan terhadap atlet berkenaan.

Bagi Shahidan, beliau melihat perkara itu kemungkinan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan memandangkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MA ke-22 yang akan berlangsung hari ini dan tumpuan kini terarah kepada pemilihan jawatan presiden selepas mendapat persaingan empat penjuru.

Majlis Sukan Negara Malaysia