Seremban: Persatuan Golf Malaysia (MGA) bakal menyandarkan harapan tinggi kepada dua pemain remaja wanita negara, Mirabel Ting dan Jeneath Wong untuk menyumbang pingat emas pada temasya Sukan SEA 2025, yang dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand, Disember depan.
Presiden MGA, Tan Sri Anwar Mohd Nor berkata, kedua-dua pemain terbabit dilihat berpotensi untuk menyumbang pingat emas pada temasya terbesar rantau ini itu mengambil kira reputasi mereka yang menduduki ranking terbaik dunia.
“Ketika ini, Mirabel berada di kedudukan kedua dunia dalam World Amateur Golf Ranking (WAGR) manakala Jeneath buat julung kalinya mencipta sejarah memenangi Golf Amatur Wanita Asia Pasifik 2025, Mac lalu.
“Mereka dilihat berpotensi untuk memberikan sumbangan terbaik dan merangkul pingat emas di Bangkok nanti.
“Kita berharap kedua-dua pemain ini dapat bersama dalam kontinjen negara ke Sukan SEA bagi membolehkan kita memberikan saingan sengit kepada pasukan lain terutama Thailand,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Golf Amatur Terbuka Negeri Sembilan 2025, di Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) di sini, petang ini.
Anwar berkata, MGA akan menyenaraikan seramai empat pemain lelaki dan tiga wanita pada temasya sukan dwitahunan itu.
Menurutnya, setakat ini senarai pemain berkenaan belum dimuktamadkan dan pihaknya masih lagi menilai pemain yang berkelayakan untuk dipertaruhkan pada kejohanan itu nanti.
Mengulas mengenai sasaran baharu kutipan pingat yang akan disasarkan MGA pada temasya kali ini, beliau berkata, ianya belum ditetapkan.
“Sasaran baharu kita hanya akan ditetapkan selepas perbincangan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan pihak yang berkaitan,” katanya.
Ujar Anwar, fokus utama MGA sekarang adalah mempersiapkan pemain termasuk membantu mereka mendapatkan pendedahan latihan secukupnya termasuk di luar negara selain mendapatkan bantuan jurulatih jangka pendek dari luar, bagi membantu meningkatkan prestasi pemain.
“Buat sementara ini sudah tentu kita mahu sekurang-kurangnya dapat kekalkan prestasi terbaik yang dicatatkan dalam dua Sukan SEA sebelum ini iaitu di Hanoi, Vietnam (2022) dan Kemboja 2023,” katanya.
Untuk rekod, pasukan golf negara berjaya membawa pulang dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada Sukan SEA Vietnam dan satu emas di Sukan SEA Kemboja.