Kuala Lumpur: Olahraga Malaysia (MA) mengambil pendekatan tidak meletakkan sasaran secara spesifik di Sukan Sea Thailand 2025, sebaliknya ingin mengatasi pencapaian lima pingat emas pada edisi Sea Kemboja 2023.
Presiden MA, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihak pengurusan dan barisan jurulatih begitu komited melakukan persiapan bagi memastikan setiap atlet yang tampil di temasya dwitahunan itu dapat memberikan persembahan cemerlang untuk meraih lebih banyak kilauan pingat emas.
Justeru, katanya, setiap atlet yang terpilih perlu berusaha lebih gigih agar pencapaian di Thailand nanti tidak merudum dan dapat mengatasi pencapaian edisi lalu.
“Menteri akan bercakap bagi pihak semua sukan di Malaysia termasuk daripada MA dan dalam mesyuarat kita sudah membincangkan tentang sasaran (Sea Thailand 2025).
“Sudah pasti di pihak kami, kami mahu lebih (berbanding edisi 2023). Kalau sekiranya kita dapat kurang, ini adalah sesuatu yang tidak wajar,” katanya pada sidang media di Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.
Selain itu, Shahidan memaklumkan beberapa nama atlet yang akan bertanding di Thailand nanti.
Untuk kategori A lelaki, Muhammad Azeem Fahmi akan berlari dalam acara 100 meter (m), Umar Osman (400m), Wan Muhammad Fazri Wan Zahri (800m), Andre Anura (lompat kijang), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Jonah Chang Rigan (lontar peluru).
Sementara itu, bagi kategori A wanita pula, Shereen Samson Vallabouy (400m), Queenie Ting Ku Ni (lempar cakera), Nani Sahirah Maryata (lontar peluru) dan Grace Wong Xiu Mei (baling tukul besi).
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengesahkan enam jurulatih baharu sudah mendapat kelulusan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membimbing barisan atlet negara.
Mereka adalah Andrew Lulham, Jorge Luis Alfaro Quinones, Yunaika Crawford Rojer, Muhammad Hakimi Ismail, Mohd Robani Hassan dan Lo Choon Sieng.