Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tze Yong cedera lutut, terpaksa tarik diri sekalipun menang set pertama

Kuala Lumpur: Nasib tidak menyebelahi perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong apabila sekali lagi terpaksa menarik diri akibat kecederaan dalam aksi pusingan pertama Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena, sebentar tadi.

Tze Yong, 24, mempamerkan aksi bertenaga apabila memenangi set pertama 22-20 menentang pemain Hong Kong, Ng Ka Long, namun hanya mampu beraksi sehingga awal set kedua.

Ketika sedang mendahului 4-3, pemain kelahiran Johor itu dilihat mengalami kecederaan pada lutut kanan sebelum membuat keputusan untuk menarik diri.

Situasi itu nyata menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kecergasan Tze Yong yang sebelum ini pernah berehat panjang akibat kecederaan.

Untuk rekod, Tze Yong menjalani dua pembedahan selepas mengalami kecederaan belakang ketika menyertai Terbuka Malaysia Januari tahun lalu, sekali gus menyaksikan dia berehat hampir setahun daripada kejohanan kompetitif.