Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Aaron-Wooi Yik kini fokus Terbuka Malaysia

Kuala Lumpur: Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui mereka bermula perlahan namun berjaya memperbaiki rentak permainan pada setiap perlawanan sebelum melakar kejayaan di pentas final Terbuka Thailand.

Pasangan nombor lima dunia itu bagaimanapun dipaksa bermandi peluh sebelum menewaskan gandingan muda Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer, dalam pertarungan tiga set sengit 20-22, 21-17, 21-12 dalam tempoh sejam pada aksi final di Stadium Nimibutr, Bangkok.

“Memang hari pertama bukan persembahan terbaik kami, tapi kami semakin baik dan akhirnya berjaya raih kejuaraan di sini. Sudah tentu kami gembira, tapi kami kena ingat hari ini kami juara, esok kami bukan lagi. Kami kena mula semula dari kosong minggu depan di Masters Malaysia,” kata Aaron.

Menghadapi pasangan muda Denmark yang tampil tanpa tekanan, Aaron mengakui mereka sangat menghormati lawan yang memiliki variasi permainan menyerang dan bertahan.

Katanya, kemenangan itu juga penting untuk membuktikan kemampuan mereka kepada jurulatih baharu skuad beregu lelaki.

“Mereka sangat bagus dan kami pernah berada di tempat mereka suatu ketika dahulu. Kami tahu ia akan jadi perlawanan sukar dan kami benar-benar bersedia untuk final ini,” katanya.

Memasuki set penentuan, Aaron-Wooi Yik mempamerkan pengalaman dan kekuatan mental untuk mendominasi permainan selepas berjaya mendapatkan kelebihan awal empat hingga lima mata yang mengganggu rentak lawan.

“Set ketiga lebih kepada kekuatan mental. Kami tahu kami kena bangkit dan kami percaya antara satu sama lain. Itulah kuncinya,” kata Wooi Yik yang turut berterima kasih atas sokongan penyokong Malaysia di Bangkok.

Sebagai juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$37,525 (RM161,191).

Kejayaan itu adalah gelaran kedua mereka musim ini selepas turut menjuarai Kejohanan Badminton Asia 2025 di Ningbo, China bulan lalu.

Dalam saingan Jelajah Dunia BWF pula, ini adalah gelaran ketiga buat gandingan juara dunia 2022 itu selepas memenangi Terbuka Denmark 2023 dan Masters Korea 2024.

Terdahulu, Pearly-Thinaah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi gandingan wanita pertama negara menjuarai Terbuka Thailand, selepas menundukkan pasangan Korea Selatan, Jeung Na Eun–Lee Yeon Woo 21-16, 21-17 dalam aksi final selama 58 minit.