Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives May 18, 2025

Kita belum cukup baik – Ahmad Jais

Kuala Lumpur: “Kita belum cukup baik.” Itu rumusan jujur Ketua Jurulatih Sepak Takraw Negara, Ahmad Jais Baharun selepas skuad negara tewas 0-2 kepada musuh tradisi, Thailand dalam aksi final regu berpasukan Piala Asia 2025 sebentar tadi.

Menurut Ahmad Jais, prestasi skuad negara masih belum mencapai tahap yang mampu menyekat dominasi Thailand yang beraksi lebih kemas dan tersusun di semua posisi.

“Bagi saya secara peribadi, pasukan kita dalam perlawanan akhir petang tadi belum cukup baik dari segi prestasi. Kita perlu melipatgandakan lagi usaha untuk mengekang asakan Thailand.

“Mereka bermain dengan lebih kemas, serangan dan pertahanan mereka lebih padu. Itu yang membezakan kita dan mereka,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Jelasnya lagi, regu utama negara yang diketuai tekong Syahir Rosdi gagal mengekalkan konsistensi seperti yang dipamerkan ketika aksi separuh akhir.

“Regu pertama tak dapat menjelmakan prestasi konsisten seperti dalam separuh akhir. Pertahanan pasukan lawan juga memberi tekanan tinggi kepada pemain kita.

“Begitu juga regu kedua. Kita dapat lihat tekanan itu mempengaruhi rentak kita untuk menyerang dan bertahan. Kekangan pada bola pertama juga jadi antara punca kita gagal menyekat serangan bertali arus Thailand,” katanya.

Ahmad Jais menegaskan pasukannya akan terus memperkemas aspek serangan dan pertahanan, terutama dari segi servis dan ketahanan mental, dalam usaha menyaingi kehebatan skuad Gajah Perang pada masa akan datang.

Kekalahan itu menyaksikan kemarau 34 tahun terus berlarutan selepas kali terakhir pada Sukan Sea Manila 1991.

Thailand kekal Raja Asia, kemarau emas berpasukan negara berterusan

Kuala Lumpur: Kemarau kejuaraan acara regu berpasukan buat skuad sepak takraw negara berterusan apabila sekali lagi akur kehebatan musuh tradisi, Thailand selepas tewas 0-2 dalam perlawanan akhir Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa, malam ini.

Dalam aksi penuh berintensiti tinggi, regu pertama negara yang dibarisi Syahir Rosdi (tekong), Azlan Alias (perejam) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan) terpaksa akur selepas tewas 11-15, 15-12, 15-17 kepada regu utama Thailand, Jakkrit Thinbangbon (tekong), Sutthikiart Panseankaew (perejam) dan Wuttinun Kamsanor (pengumpan).

Keputusan itu memberikan kelebihan awal buat Thailand, sebelum regu kedua Malaysia yang mempertaruhkan Haziq Hairul Nizam, Noraizat Nordin dan Farhan Adam turut kecundang 15-13, 13-15, 4-15 kepada regu kedua Thailand yang diketuai Sittipong Kamchan, Tanaphon Sapyen dan Sirisak Anuloon.

Kekalahan dua regu ini sekali gus menyaksikan Malaysia tewas 0-2, menamatkan impian untuk menjulang kejuaraan dan menamatkan dominasi Thailand dalam acara regu berpasukan.

Kali terakhir Malaysia menjuarai acara regu berpasukan di pentas utama adalah ketika merangkul emas di Sukan Sea Manila 1991.

Tahun lalu di Piala Dunia skuad regu berpasukan tumpas 1-2 dalam perlawanan akhir.

Peluang untuk menamatkan kemarau 34 tahun itu kini terarah kepada saingan Piala Raja Thai dan juga Sukan Sea Thailand.

Aaron-Wooi Yik kini fokus Terbuka Malaysia

Kuala Lumpur: Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui mereka bermula perlahan namun berjaya memperbaiki rentak permainan pada setiap perlawanan sebelum melakar kejayaan di pentas final Terbuka Thailand.

Pasangan nombor lima dunia itu bagaimanapun dipaksa bermandi peluh sebelum menewaskan gandingan muda Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer, dalam pertarungan tiga set sengit 20-22, 21-17, 21-12 dalam tempoh sejam pada aksi final di Stadium Nimibutr, Bangkok.

“Memang hari pertama bukan persembahan terbaik kami, tapi kami semakin baik dan akhirnya berjaya raih kejuaraan di sini. Sudah tentu kami gembira, tapi kami kena ingat hari ini kami juara, esok kami bukan lagi. Kami kena mula semula dari kosong minggu depan di Masters Malaysia,” kata Aaron.

Menghadapi pasangan muda Denmark yang tampil tanpa tekanan, Aaron mengakui mereka sangat menghormati lawan yang memiliki variasi permainan menyerang dan bertahan.

Katanya, kemenangan itu juga penting untuk membuktikan kemampuan mereka kepada jurulatih baharu skuad beregu lelaki.

“Mereka sangat bagus dan kami pernah berada di tempat mereka suatu ketika dahulu. Kami tahu ia akan jadi perlawanan sukar dan kami benar-benar bersedia untuk final ini,” katanya.

Memasuki set penentuan, Aaron-Wooi Yik mempamerkan pengalaman dan kekuatan mental untuk mendominasi permainan selepas berjaya mendapatkan kelebihan awal empat hingga lima mata yang mengganggu rentak lawan.

“Set ketiga lebih kepada kekuatan mental. Kami tahu kami kena bangkit dan kami percaya antara satu sama lain. Itulah kuncinya,” kata Wooi Yik yang turut berterima kasih atas sokongan penyokong Malaysia di Bangkok.

Sebagai juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$37,525 (RM161,191).

Kejayaan itu adalah gelaran kedua mereka musim ini selepas turut menjuarai Kejohanan Badminton Asia 2025 di Ningbo, China bulan lalu.

Dalam saingan Jelajah Dunia BWF pula, ini adalah gelaran ketiga buat gandingan juara dunia 2022 itu selepas memenangi Terbuka Denmark 2023 dan Masters Korea 2024.

Terdahulu, Pearly-Thinaah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi gandingan wanita pertama negara menjuarai Terbuka Thailand, selepas menundukkan pasangan Korea Selatan, Jeung Na Eun–Lee Yeon Woo 21-16, 21-17 dalam aksi final selama 58 minit.

Juara Terbuka Thailand ubati kekecewaan Pearly-Thinaah

Kuala Lumpur: Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, menyifatkan kejayaan mereka menjuarai Terbuka Thailand sebagai sesuatu yang cukup bermakna dalam usaha memulihkan semangat selepas permulaan musim yang kurang memuaskan.

Pasangan nombor empat dunia itu tampil cemerlang dalam aksi final di Stadium Nimibutr, Bangkok, apabila menundukkan wakil Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo dengan kemenangan straight set 21-16, 21-17 dalam tempoh 58 minit.

“Kemenangan ini cipta kenangan baharu buat kami. Sejujurnya, ia sangat bermakna kerana kami tidak memulakan tahun ini dengan baik, khususnya apabila tewas di pusingan pertama Terbuka Malaysia di laman sendiri,” kata Thinaah.

“Tapi kami tidak pernah hilang kepercayaan antara satu sama lain. Kami terus saling menyokong, bekerja keras dalam latihan dan juga ketika kejohanan. Sedikit demi sedikit, kami berjaya atasi beberapa halangan walaupun masih banyak yang perlu diperbaiki.

“Hari ini, saya benar-benar ingin berterima kasih kepada rakan saya kerana kekal kuat sampai ke penghujung perlawanan. Kemenangan ini amat penting untuk kami bergerak ke depan,” katanya lagi.

Aksi set pertama menyaksikan Pearly-Thinaah bermula agak perlahan sebelum bangkit mengubah rentak permainan.

“Kami saling mengingatkan untuk kekal yakin dan percaya antara satu sama lain. Saya sangat yakin sebab saya ada dia di sisi saya. Dia banyak bantu saya dalam perlawanan ini.

“Kami juga berbincang dengan jurulatih untuk atasi strategi lawan dan ternyata ia sangat membantu. Saya sangat gembira dengan kemenangan hari ini,” jelas Pearly.

“Minda kami sama saja – jangan benarkan shuttle jatuh ke gelanggang sendiri. Kami hanya mahu berikan segalanya dan cuba selamatkan setiap pukulan,” kata Thinaah.

Sebagai juara, Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$37,525 (RM161,191).

Kejayaan itu sekali gus menamatkan penantian sejak September tahun lalu, apabila mereka kali terakhir menjulang kejuaraan di Terbuka Hong Kong 2024.

Majlis Sukan Negara Malaysia