Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Aidil buat Guang Zu kecut perut

Kuala Lumpur: Perseorangan profesional negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin hampir mencipta kejutan di Terbuka Thailand apabila memberi tentangan sengit sebelum akur tewas kepada pemain ranking ke-14 dunia dari China, Lu Guang Zu pada aksi pusingan kedua hari ini.

Dalam aksi berlangsung di Stadium Nimibutr, Bangkok, Aidil Sholeh memulakan permainan dengan cukup meyakinkan apabila memenangi set pertama 21-18, namun Guang Zu bangkit untuk menguasai dua set berikutnya 21-16, 21-14 dalam pertarungan memakan masa 69 minit.

Walaupun tersingkir, pencapaian itu tetap membanggakan apabila ia yang terbaik pernah diraih Aidil Sholeh dalam kejohanan bertaraf Super 500 iaitu petanda positif menjelang cabaran di Masters Malaysia minggu depan.

Aidil Sholeh sebelum ini menunjukkan peningkatan ketara musim ini apabila muncul juara Cabaran Antarabangsa Sri Lanka dan mara ke separuh akhir Masters Ruichang, masing-masing pada Mac lalu.

Di Bangkok, pemain ranking ke-48 dunia itu bermula dari pusingan kelayakan dan dijangka mengharungi laluan sama di Axiata Arena minggu depan, di mana dia bakal berdepan pemain Taiwan, Hang Yu Kai pada pusingan pertama.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King mara ke suku akhir selepas mengetepikan rakan senegara, Kang Khai Xing-Aaron Tai 21-11, 21-11.

Mereka dijadual bertemu pemenang perlawanan antara gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita dalam perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Bagaimanapun, satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun terus dirundung prestasi tidak menentu apabila tewas kepada pasangan Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer 21-15, 19-21, 18-21.

Pasangan ranking ketujuh dunia itu gagal mengekalkan momentum selepas menjuarai Masters Indonesia Januari lalu apabila turut tersingkir awal di Masters Orleans, Seluruh England dan Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo.

“Kami rasa janggal bermain dengan mereka kerana rentak permainan mereka agak perlahan. Mereka sudah dapat membaca corak permainan kami,” kata Wei Chong kepada laman rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF).