Kuala Lumpur: Atlet muda Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee terus membuktikan dirinya adalah individu baharu yang akan menguasai acara pecut di Malaysia selepas sekali lagi muncul juara acara 200 meter (m) Kejohanan Olahraga Siri Super Kuala Lumpur 2025 di Stadium Merdeka, hari ini.
Danish sekali lagi mencuri tumpuan apabila berjaya menewaskan pelari senior untuk memenangi pingat emas dengan catatan masa 21.81 saat (s) dan menganggap ini adalah kemenangan cukup manis buat dirinya.
“Alhamdulillah, untuk permulaan musim ini, saya rasa berpuas hati sebab dapat melakukan catatan terbaik pada musim ini. Namun ini masih belum cukup untuk saya. Ini kerana sasaran saya masih ada banyak lagi. Ada banyak kejohanan yang lebih besar yang akan disertai,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Rizal Mikhail Mohd Romzi dari Pahang berjaya meraih perak dengan catatan masa 22.23s, manakala gangsa milik Muhammad Airiel Iskandar Rusli dari Johor, (22.40s) .
Untuk rekod, atlet berusia 18 tahun itu turut berjaya meraih emas dalam acara 100m dengan catatan 10.57s dan lebih membanggakan, dia menewaskan pelari kebangsaan pada aksi final itu, semalam.
Sementara itu, bagi kategori 200m wanita, Nur Aishah Rofina Aling dari Sabah berjaya meraih emas dengan masa 24.69s, itu sudah cukup untuk menewaskan pelari kebangsaan, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal yang melakukan catatan masa 25.50s untuk pingat perak dan gangsa menjadi milik Zaimah Atifah Zainuddin, 26.01s.
Untuk acara 4x400m lelaki, kuartet Malaysia A menepati ramalan untuk menang emas selepas menamatkan larian dalam masa 3 minit 16.02s, sementara Malaysia B meraih pingat perak (3:19.94), dan gangsa milik Olahraga Kawan (3:26.82s).
Bagi saingan 4x400m wanita, pasukan yang diwakili pelari negara tidak berdepan masalah untuk muncul juara dengan catatan masa 3:56.91s, jauh meninggalkan Johor A yang meraih perak (4:10.81s), dan gangsa milik Johor B yang menamatkan larian dalam masa 4:33.75s.