Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi terus mempamerkan peningkatan dalam larian apabila kali ini muncul juara acara 100 meter pada Kejohanan Olahraga Tiger Track Classic di Auburn, Amerika Syarikat, hari ini.
Azeem yang mewakili Universiti Auburn berjaya membuktikan dirinya ketika ini berada di tahap terbaik selepas menjadi orang pertama melepasi garisan penamat dengan catatan 10.28 saat (s), sekali gus mengecewakan pesaing utamanya, Brody Buffington dari Georgia yang menamatkan larian di tempat kedua dengan catatan 10.29s.
Sementara itu, tempat ketiga pula dimenangi rakan sepasukan Brody, Micah Larry yang mencatat masa 10.32s.
Kemenangan itu juga membolehkan Azeem memperbaharui masa terbaik untuk musim ini, 10.33s yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Pepsi Florida Relays di Florida, Amerika Syarikat pada 19 April lalu.
Bagi Azeem, dirinya semakin percaya mampu menampilkan prestasi yang lebih baik, terutama untuk mendapatkan catatan masa di bawah 10 saat.
“Ia akan datang,” tulis Azeem ringkas di Instagram miliknya.
Sementara itu, Pengarah Teknikal Kejurulatihan Olahraga Malaysia (MA), Robert J Ballard melihat prestasi semasa pelari kelahiran Perak itu amat bagus dan percaya Azeem mampu mencatatkan masa yang lebih baik pada kejohanan akan datang.
“Adalah satu perkara yang baik melihat Azeem mencatatkan masa terbaik musim ini walaupun berlari dalam keadaan angin melawan -0.9s.
“Selepas ini, Azeem dijadualkan akan bertanding sekali lagi di Kejohanan TSU (Tennessee) minggu hadapan,” katanya.