Kerajaan telah menetapkan 20 jenis Sukan Teras Prestasi Tinggi sebagai langkah strategik untuk memperkukuh pembangunan sukan negara secara lebih cekap, sistematik dan berfokus.
Keputusan ini telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) Bil. 1/2025 yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, pada 14 April yang lalu.
Menurut YAB Timbalan Perdana Menteri, penetapan ini akan melibatkan penyelarasan menyeluruh antara semua pemegang taruh sukan dan menjadi asas penting dalam memperkasa ekosistem sukan berprestasi tinggi negara.
Sukan-sukan yang disenaraikan di bawah kategori teras ini juga telah dikenal pasti berpotensi besar untuk menyumbang pingat dalam temasya-temasya sukan utama di peringkat antarabangsa.