Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Soon Huat-Shevon sedia sahut cabaran di Piala Sudirman

Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat sedia menampilkan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang selaku pasangan utama di Piala Sudirman di Xiamen, China, bermula 27 April hingga 4 Mei depan.

Jelas Soon Huat, dia dan pasangannya, Shevon Lai sedia menggunakan segala pengalaman dimiliki untuk memastikan Malaysia mendapatkan mata penting dalam setiap perlawanan, sekali gus mencerahkan peluang ke pusingan kalah mati.

Tambahnya, peluang diberikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu harus digunakan sebaik mungkin bagi membalas kepercayaan diberikan.

“Kita perlu sentiasa bersedia sebab masa pertama kali BAM telefon (beri tawaran wakil negara), kita sudah beri jawapan kita bersedia untuk beraksi.

“Jadi, di sana (China), kita lihat bertemu siapa serta pasangan mana yang mempunyai kelebihan dan selebihnya terpulang kepada strategi jurulatih.

“Bagi kita sebagai pemain dan atlet Malaysia, kita akan usaha untuk dapatkan satu mata penting untuk pasukan negara,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Selain itu, ketiadaan pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia turut dirasai Soon Huat, namun dia tetap percaya dengan barisan pemain yang bakal membawa cabaran negara nanti.

“Sebab kita kurang Zii Jia (tidak disenaraikan sebab kecederaan). Jadi, dari situ kita akan cuba buat yang terbaik untuk dapatkan satu mata untuk pasukan kita.

“Menang atau kalah, kita sebagai satu pasukan akan lalui bersama,” katanya.

Selain itu, pemain berpengalaman itu melihat kem badminton negara bakal berdepan lawan sukar iaitu Jepun dan setiap pemain perlu memberikan persembahan terbaik bagi mendapatkan mata.

Di Piala Sudirman nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Jepun, Australia dan Perancis.