Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hannah beri kata dua kepada BAM, Tang Jie-Ee Wei

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi kata dua kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) supaya mengkaji semula keputusan memisahkan gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, sekiranya mahu melihat mereka berada dalam Program Road to Gold (RTG).

Terdahulu, nama Tang Jie-Ee Wei disenaraikan untuk program RTG dalam misi memburu pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028, mengambil kira kedudukan ranking mereka di tangga keempat dunia.

Bagaimanapun, Hannah menjelaskan penyertaan pasangan itu dalam program elit berkenaan adalah bersyarat dan hanya akan kekal disenaraikan sekiranya mereka kekal bersama sebagai satu gandingan.

“Negara sudah melaburkan banyak duit untuk pasangan ini dan sudah membuahkan hasil. Jadi, saya mahu pastikan BAM dan pemain ini mempunyai komitmen.

“Senarai yang diumumkan hari ini adalah untuk pasangan ini dan bukan dengan gandingan baharu. Sebab itu BAM perlu fikir betul-betul kerana ini melibatkan pelaburan negara,” kata Hannah ketika sidang media pengumuman senarai atlet yang dipilih untuk berada dalam program RTG di sini, hari ini.

BAM sebelum ini memutuskan untuk memisahkan gandingan Tang Jie-Ee Wei selepas prestasi mereka dilihat merudum akibat hubungan yang semakin renggang.

Keputusan itu menyaksikan Tang Jie digandingan dengan Chan Wen Tse, manakala Ee Wei akan berpasangan dengan Loo Bing Kun.

Kedua-dua pemain itu sebelum ini turut berada dalam RTG ketika persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, Julai tahun lalu.

Menurut Hannah, perbelanjaan besar kerajaan melalui program RTG memerlukan komitmen tinggi dan disiplin daripada atlet supaya tidak berlaku perubahan mendadak yang menjejaskan pelaburan jangka panjang negara.

“Duit yang dibayar oleh kerajaan ini mesti ada akauntabiliti daripada atlet. Tidak boleh sewenang-wenangnya buat keputusan, contohnya tiba-tiba tidak mahu bermain atau tukar pasangan.

“Negara sudah melabur banyak untuk mereka, jadi disiplin dan komitmen amat penting. Saya percaya peminat sukan juga mahu perkara yang sama. Semua ini akan dibincangkan dalam dua minggu ini selepas penyelaras jumpa dengan atlet untuk dapatkan komitmen daripada mereka,” katanya.