Kuala Lumpur: Selepas hampir satu dekad tersisih akibat isu doping, sukan angkat berat kini kembali mendapat pengiktirafan sebagai sukan prestasi tinggi atau sukan teras negara.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas kepercayaan diberikan semula kepada sukan itu, selepas melalui pelbagai proses transformasi dan penstrukturan semula sejak 2018.
“Kami benar-benar bersyukur kerana segala usaha selama ini akhirnya membuahkan hasil.
“Demi memartabatkan kembali sukan angkat berat, PABM sudah melakukan perubahan menyeluruh termasuk pindaan perlembagaan, penstrukturan pengurusan serta penekanan terhadap aspek disiplin, integriti dan hala tuju jelas,” katanya.
Beliau berkata, hasil daripada transformasi itu, sukan angkat berat buat pertama kali dalam sejarah berjaya melayakkan atletnya Mohamad Aniq Kasdan ke Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit menerusi pencapaian yang menjadi bukti kemampuan sebenar sukan itu di pentas dunia.
“Kami percaya dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, atlet kita mampu mencipta sejarah mencapai lebih banyak kejayaan dengan meraih pingat emas terutama di temasya Sukan Komanwel,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, mantan Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub dan Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, Institut Sukan Negara (ISN) dan Program Podium Road to Gold (RTG) yang banyak membantu dalam proses pemulihan sukan itu.
Sukan angkat berat pernah digugurkan daripada senarai sukan teras sejak 2018 susulan beberapa isu doping.
Namun, usaha berterusan PABM membuktikan sukan itu masih relevan dan berpotensi besar untuk terus menyumbang kejayaan buat negara.