Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Allahyarham Mazlan pesan utamakan pembangunan akar umbi – Jefri

Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin menyifatkan Allahyarham Datuk Mazlan Ahmad bukan sahaja sebagai seorang pemimpin, malah seorang guru dan mentor yang banyak mencorak hala tuju pembangunan atlet negara.

Jefri berkata, dunia sukan tanah air kehilangan sebutir permata berharga dengan pemergian bekas KP MSN itu.

Menurutnya, pemergian Allahyarham disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat seluruh warga sukan, apatah lagi beliau pernah menjadi tonggak utama dalam meletakkan asas kukuh pembangunan sukan negara.

“Saya sendiri dibimbing beliau sejak mula menyertai MSN hingga menjawat jawatan Ketua Unit Sukan.

“Beliau banyak memberi tunjuk ajar dan memberi kesan sangat besar dalam kerjaya saya.

“Beberapa kali selepas beliau bersara, kami masih bertemu dan beliau sentiasa mengingatkan saya supaya terus memberi keutamaan kepada pembangunan akar umbi dan sukan berprestasi tinggi,” katanya yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara, hari ini.

Tambah Jefri, antara legasi terbesar Allahyarham ialah usaha menubuhkan pusat latihan sukan berprestasi tinggi yang kini menjadi nadi kejayaan atlet negara di pentas dunia.

Beliau berkata, pusat latihan spesifik seperti gimnastik, terjun dan badminton adalah antara hasil idea Allahyarham.

Menurutnya, pusat latihan di Perak, Sekinchan, Kedah dan Melaka lahir daripada usaha gigih beliau bersama pihak kementerian ketika itu.