Kuala Terengganu: Bekas Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad yakin pelari berpotensi negara, Muhammad Azeem Fahmi mampu memecah rekod kebangsaan dalam acara 200 meter (m).
Jelas bekas atlet kebangsaan yang pernah beraksi di temasya Sukan Olimpik Athens 2004 itu, prestasi mantap dipamerkan atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu membuktikan lariannya semakin meningkat.
Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu, tidak mustahil untuk Azeem mencipta sejarah melakukan catatan masa bawah 10 saat (s) dalam acara 100m.
Terdahulu pelari berusia 21 tahun itu membuktikan keupayaan apabila menamatkan larian di kedudukan pertama saringan keenam pada Kejohanan Olahraga Pepsi Florida Relays di Amerika Syarikat pada Jumaat lalu.
Pada kejohanan itu, Azeem merekod catatan masa 20.79 s iaitu ketinggalan hanya 0.02s dengan rekod kebangsaan milik Russel Taib yang merekod 20.77s yang dilakukan pada 2019.
“Selepas tiga tahun tidak beraksi dalam acara 200m, Azeem mengejutkan dunia olahraga negara apabila mencatat masa 20.79 s di bumi Amerika Syarikat sekali gus mencatat rekod peribadi baharunya.
“Lebih menarik, prestasi luar biasa itu hadir bukan daripada acara utamanya, 100 meter, sebaliknya daripada acara yang telah lama ditinggalkan sejak 2021.
“Ini menandakan sesuatu yang besar sedang dibina bukan sahaja dalam acara 200m, tetapi sebagai persediaan besar untuk misi utama menjadi pelari Malaysia pertama berlari bawah 10s,” kata pelari kelahiran Terengganu itu ketika dihubungi.T
Tambah Nazmizan, dengan rekod kebangsaan 10.09s dalam acara 100m, Azeem kini hanya dipisahkan 0.09s daripada tembok psikologi yang selama ini belum berjaya ditembusi mana-mana atlet Malaysia berlari bawah 10s.