Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sarawak lobi anjur tinju Sukan Sea 2027

Kuching: Sukan tinju disasarkan antara 18 acara akan diadakan di Sarawak pada temasya Sukan Sea 2027.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, berikutan itu pihaknya kini melobi untuk memastikan sukan tempur itu diadakan di negeri ini.

Abdul Karim berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada Jawatankuasa Pengelola Sukan Sea dan Para Asean 2027 kerana Pulau Pinang turut menyatakan hasrat untuk menjadi gelanggang acara itu.

“Ya, kita akan melobi kerana sukan tinju mempunyai ramai penggemarnya di Sarawak selain ramai petinju berasal dari negeri ini.

“Bagaimanapun, keputusan muktamad berkenaan pemilihan venue untuk sukan itu akan diputuskan oleh jawatankuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran bersama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, ketika ini 36 acara sudah dikenal pasti akan dipertandingkan pada Sukan Sea 2027.

“Sebanyak 18 acara akan diadakan di Sarawak manakala selebihnya Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor, namun apa acara belum diputuskan.

“Jika Sarawak dipilih untuk menganjurkan sukan tinju, kita tidak menghadapi masalah venue kerana ia boleh diadakan di Stadium Perpaduan, di Petra Jaya,” katanya.