Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tun Hakim lakar sejarah menang gelaran Jelajah PBA

Kuala Lumpur: Pemain boling negara terus melakar sensasi apabila Tun Hakim Tun Hasnul Azam mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran dalam Jelajah Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA).

Kejayaan itu menyaksikan pemain berusia 26 tahun itu membawa pulang hadiah utama bernilai AS$20,000 (RM89,000).

Tun Hakim dinobatkan sebagai juara Chameleon Championship di Reno, Nevada selepas mempamerkan aksi mengagumkan untuk menewaskan pemain Amerika Syarikat (AS), Kevin McCune, 269-227 dalam perlawanan akhir di National Bowling Stadium.

Hakim mempamerkan aksi konsisten sepanjang bermula dari peringkat penyingkiran.

Di pusingan 16 terbaik, dia menewaskan pemain AS, David Krol 3-1 (237-226, 216-247, 268-267, 279-187) sebelum mengatasi juara 12 kali Jelajah PBA dari Sweden, Jesper Svensson, dengan kemenangan bersih 3-0 (245-214, 245-228, 254-215) untuk menempah tempat dalam final stepladder lima terbaik.

Aksi konsisten membolehkan dia menamatkan 16 permainan di tempat keempat dan memberikannya tiket automatik ke perlawanan akhir.

Empat finalis yang turut beraksi di pentas akhir adalah McCune, EJ Tackett, Andrew Anderson dan Mitch Hupe yang bertarung sesama sendiri bagi merebut peluang mencabar Hakim dalam perlawanan akhir, dengan McCune akhirnya berjaya melangkah ke final.

Kejayaan bersejarah Hakim ini hadir hanya beberapa hari selepas Rafiq Ismail nyaris memenangi gelaran Jelajah PBA, apabila menduduki tempat kedua dalam Scorpion Championship sebelum tewas kepada pemain Sweden, Rasmus Edvall, dalam perlawanan akhir.

Awal tahun ini, Hakim menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan bersama Rafiq, Ahmad Muaz Fishol, dan Timmy Tan yang menjuarai acara berpasukan di Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong.

Malaysia mungkin bakal mempunyai seorang lagi juara Jelajah PBA apabila Muaz meneruskan perjuangan beraksi dalam peringkat penyingkiran PBA Shark Championship.