Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tze Yong kembali tampil di BAC

Kuala Lumpur: Demi memastikan Ng Tze Yong memperoleh persiapan lebih panjang untuk kembali ke gelanggang, pemain perseorangan lelaki negara itu tidak akan menyertai Cabaran Antarabangsa Vietnam yang dijadual bermula 25 hingga 30 Mac ini.

Sebaliknya, peminat badminton negara akan dapat menyaksikan semula kelibat Tze Yong di atas gelanggang apabila dia bakal beraksi di di Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China dari 8 hingga 13 April.

Tze Yong sebelum ini terpaksa berehat lebih setahun selepas menjalani pembedahan belakang.

Ketua jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen berkata, persetujuan sudah dicapai dengan Tze Yong untuk kembali ke gelanggang di BAC berbanding perancangan awal di Cabaran Antarabangsa Vietnam.

“Kami sudah mengeluarkan namanya (Tze Yong) daripada Cabaran Antarabangsa Vietnam. Jadi, dia akan bermain kejohanan pertamanya di Kejohanan Badminton Asia.

“Ini akan memberikan Tze Yong tambahan masa dua minggu untuk dia buat persiapan sebelum kembali beraksi dalam kejohanan,” kata Jonassen.

Tze Yong bakal berdepan tugas berliku untuk bangkit semula selepas kini menduduki ranking ke-1,927.

Jonassen sebelum ini mengakui kagum dengan perkembangan pemulihan pemain berusia 25 tahun itu yang menunjukkan perkembangan positif pada sesi latihan.

Tze Yong mengalami kecederaan belakang ketika beraksi di Terbuka Malaysia pada Januari tahun lalu, yang memaksanya menjalani dua pembedahan dan perlu berehat panjang.