Kuala Lumpur: Penampilan beregu lelaki berpengalaman negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Seluruh England yang bermula 11 Mac ini, kini mencetuskan persoalan.
Ia selepas kekalahan bekas juara dunia itu di tangan gandingan muda China, Sun Wen Jun-Zhu Yi Jun 18-21, 8-21 pada pusingan pertama Masters Orleans, semalam.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, Aaron tidak dapat beraksi pada tahap terbaik perlawanan yang berlangsung di Palais des Sports, Perancis itu kerana mengalami kecederaan di pergelangan tangannya.
Justeru itu, Herry akan menunggu laporan daripada jurulatih, Muhammad Miftakh yang berada di Perancis bagi mendapatkan situasi sebenar Aaron-Wooi Yik.
“Untuk Seluruh England, saya menunggu laporan daripada Muhammad Miftakh terlebih dahulu untuk tahu sama ada Aaron boleh beraksi atau tidak.
“Buat masa sekarang kita belum tahu lagi boleh atau tidak,” katanya ketika dihubungi.
Aaron sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan berulang di pergelangan tangan, namun Herry memaklumkan kecederaan itu tidak serius.
Aksi semalam adalah kejohanan pertama bagi Aaron-Wooi Yik selepas kali terakhir tampil pada Masters Indonesia, Januari lalu yang menyaksikan mereka mara ke separuh akhir.
Pada saingan Seluruh England, Aaron-Wooi Yik yang mara ke pentas final tahun lalu, dijadual akan bertemu gandingan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard seawal pusingan pertama.