Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Misi dan perancangan khas buat Nurul Izzah untuk Olimpik Los Angeles

Kuala Lumpur: Sudah ada perancangan khas diatur buat pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri oleh Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) dalam persiapan untuk menjadikan dia antara atlet yang mampu mencabar pingat di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 nanti.

Antara yang akan diberi tumpuan adalah untuk pembentukan otot yang mana ia dilihat sebagai intipati penting sekiranya ingin merangkul pingat.

Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Mohd Harnizam Basri berkata, Izzah Izzati mampu untuk menjadi antara yang terbaik di dunia sekiranya dia berjaya meningkatkan jisim otot kerana dia sudah tiada masalah dari segi daya pecutan.

“Untuk membina otot ini perlukan masa dan perlu banyak rehat yang cukup seperti tidur dari lapan hingga 10 jam.

“Jadi dua bulan selepas Hari Raya nanti tumpuan akan diberikan ke arah untuk menaikkan ototnya.

“Ini kerana antara keirin dan pecut, kelebihan dia adalah lebih kepada keirin. Dari segi pecutan, memang dia sempurna tetapi otot perlu dibina lagi kerana saiznya yang kecil,” katanya.

Pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai Negeri Sembilan minggu lalu, Izzah mempamerkan aksi cukup bertenaga apabila meraih dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

Paling manis, dia berjaya menewaskan juara dunia dari Jepun, Mina Sato untuk merangkul emas acara keirin selain mencatat rekod Asia 1:06.229 saat (s) ketika memenangi acara 1 kilometer (km) ujian masa.

Justeru Harnizam mahu Izzah untuk lebih memberi tumpuan dalam acara keirin kerana 1km ujian masa tidak dipertandingkan.