Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Arif-Roy King ke suku akhir Terbuka Jerman

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King melangkah ke suku akhir Terbuka Jerman di Mulheim selepas mengatasi pasangan Taiwan, Po Li Wei-Chang Ko Chi, awal pagi tadi.

Diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan, pasangan ranking 19 dunia itu tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan 21-17, 22-20 dalam aksi yang berlangsung selama 37 minit.

Begitupun, Wan Arif-Roy King dijadual berdepan lawan sukar di peringkat lapan terbaik – bertemu pasangan Korea Selatan, Kim Wan Ho-Seo Seung Jae yang juga pemenang Terbuka Malaysia, bulan lalu, hari ini.

Pertemuan itu juga boleh menjadi medan balas dendam terbaik buat Wan Arif-Roy King yang menjadi antara mangsa Wan Ho-Seung Jae yang baru digandingkan pada tahun ini di Axiata Arena selepas disingkirkan seawal pusingan pertama.

Dalam pada itu, turut mara ke suku akhir adalah pasangan beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teo Mei Xing selepas mengejutkan pilihan kelima kejohanan, Chen Qing Chen-Wang Ting Ge.

Bertemu pasangan yang baru bergandingan itu, Pei Kee-Mei Xing memperoleh kemenangan 22-20, 21-12 dalam tempoh 44 minit dan akan bertemu pasangan Jepun, Mizuki Otake-Miyu Takahashi di peringkat empat terbaik.

Sementara itu, harapan pasangan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin untuk merangkul gelaran pertama tahun ini berakhir apabila kandas di pusingan kedua.

Sekalipun atas kertas pilihan kedua kejohanan itu tampak tidak bermasalah untuk mara, mereka dikejutkan oleh pasangan China, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying dalam aksi tiga set 17-21, 21-11, 21-16 dalam tempoh 50 minit.

Turut tersingkir di pusingan kedua adalah beregu campuran profesional negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien selepas dikejutkan pasangan Amerika Syarikat, Presley Smith-Jennie Gai.

Menghuni ranking 34 dunia, gandingan Tien Ci-Chiew Sien begitupun tewas dalam perlawanan straight set 22-20, 21-19 dalam tempoh 42 minit kepada lawan yang menghuni ranking 63 dunia itu.

Dalam acara perseorangan lelaki, dua wakil negara turut kandas masing-masing kepada lawan daripada negara jiran Singapura.

Selepas Justin Hoh dikalahkan Jason Teh dalam aksi tiga set 18-21, 19-21, 12-21, pemain profesional, Cheam June Wei tumbang kepada Loh Kean Yew dalam pertarungan yang berlangsung tiga set, 19-21, 21-13, 21-12.