Kuala Lumpur: Pemain boling negara,, Muhammad Hafiz Zainuddin mempamerkan prestasi cemerlang apabila berjaya meraih kejuaraan sulung pada Kejohanan Boling Antarbangsa Dubai ke-11 di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), semalam.
Meskipun Hafiz turun dalam kategori terbuka, dia tetap memberikan persembahan terbaik untuk melakukan 1,744 jatuhan pin pada aksi di Pusat Boling Antarabangsa Dubai itu.
Kejuaraan itu amat bermakna kerana dia dan seorang lagi wakil negara, Muhammad Syazirol Shamsudin mengeluarkan dana sendiri bagi membolehkan mereka menyertai kejohanan itu.
“Kedua-dua atlet ini menanggung sendiri perbelanjaan mereka untuk beraksi pada kejohanan tersebut dan tidak ada atlet Malaysia yang lain selain mereka berada di sana,” kata Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok.
Dalam pertandingan itu, wakil Bahrain, Ahmed Al Mahri meraih pingat perak selepas melakukan 1,731 jatuhan pin diikuti wakil tuan rumah, Hassan Al Zaabi memenangi gangsa dengan 1,729 jatuhan pin manakala Syazirol di tempat kelima selepas melakukan 1,722 jatuhan pin.
Dengan status juara, Hafiz mendapat durian runtuh apabila membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah 50,000 AED (RM60,000) berserta trofi.
Dalam perkembangan lain, tiga atlet sandaran seperti Muhammad Rafiq Ismail, Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam dan Ahmad Muaz Mohd Fishol sedang melakukan persiapan sebelum ke Amerika Syarikat 27 Februari ini.
Ketiga-tiga atlet berkenaan akan menyertai seorang lagi atlet negara, Timmy Tan sebelum beraksi pada kejohanan Siri Boling Dunia yang berlangsung di Nevada bermula 3 hingga 22 Mac depan.