Kuala Lumpur: Pemain berpengalaman Pasukan Hoki Terengganu (THT), Faizal Saari menyifatkan perlawanan akhir Piala TNB menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah antara perlawanan paling sengit untuk dirinya sekali gus masa terbaik mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan.
Bagi Faizal yang sudah 15 tahun menabur bakti buat pasukan negara bukanlah sesuatu yang mudah selepas mengharungi pelbagai cabaran bersama pemain lain dalam pelbagai kejohanan yang dilalui bersama-sama dalam tempoh itu.
Namun, selepas mengambil kira pelbagai perkara, dirinya mengambil keputusan itu dan akan membuka lembaran baharu iaitu berkecimpung dalam bidang kejurulatihan bagi menurunkan ilmu kepada generasi baharu.
“Sepanjang 12 tahun bersama THT, saya rasa final ini paling terbaik kerana begitu sengit dan mungkin rezeki THT, kita dapat gelaran treble tahun ini.
“Hari ini (semalam) sedih juga, bagi saya sepanjang 15 tahun berkhidmat untuk negara dan hari ini adalah hari persaraan. Saya pun sudah beri surat (persaraan) kepada pihak pengurusan dan selepas ini, tidak nampaklah kelibat saya dalam skuad kebangsaan.
“Saya rasa tempoh itu sangat lama kerana sudah pasti ada naik turun, ada pengalaman bersama pasukan tapi sudah tiba masa untuk saya bersara. Saya ada perancangan selepas ini iaitu mengajar kanak-kanak melalui akademi saya yang berpusat di Lembah Klang,” katanya selepas tamat aksi final Piala TNB di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, semalam.
Selain itu, pemain berusia 34 tahun itu juga memaklumkan, dia dan rakan turun dalam aksi final itu dengan satu matlamat iaitu melengkapkan kejuaraan hatrik pada musim ini meskipun dirinya mempunyai potensi untuk dinobatkan penjaring terbanyak.
“Bagi saya itu adalah nombor dua. Sasaran kita adalah tiga piala dan alhamdulillah kita peroleh dan kita dapat penjaring terbanyak. Itu kira bonus untuk saya,” katanya.
Untuk rekod, Faizal memilih untuk menggantung kayu hoki selepas mula menyertai pasukan negara pada usia 18 tahun dan sudah membuat 302 penampilan sepanjang tempoh bersama Speedy Tigers.
Terdahulu, THT melengkapkan musim yang gemilang dengan meraih kejuaraan treble musim ini selepas mengalahkan TNB 3-0 menerusi shoot out selepas kedudukan terikat 1-1 dalam aksi final Piala TNB.