Kuala Lumpur: Ketua jurulatih baharu ragbi 15 sebelah (s) negara, Saizul Hafifi Md Noor kini menyusun beberapa langkah untuk memperkuatkan pasukan Malaysia termasuk mengadakan beberapa siri kem sebelum menentang Sri Lanka pada aksi play off Kejohanan Ragbi Asia yang berlangsung April depan.
Jelasnya, beliau akan terus memantau perkembangan pemain daripada semasa ke semasa dan akan memanggil mereka ke kem latihan bagi membentuk keserasian sebelum memilih yang terbaik.
Malah, dirinya juga akan memberi penekanan kepada beberapa aspek yang penting untuk memastikan setiap pemain berada di tahap terbaik ketika hari perlawanan itu.
“Saya akan cuba membentuk pasukan (terbaik) yang kita mula memantau daripada tahun lalu dan akan terus melihat perkembangan pemain lama dan baharu yang beraksi dalam saingan Piala Agong 2024 dan Liga Super Korporat.
“Apa yang kami rancang, kami akan adakan empat kem sebelum menentang Sri Lanka, kita akan memanggil semua pemain yang ada termasuk pemain lama dan baru. Mereka akan lalui sesi pemilihan untuk pastikan setiap orang berada di tahap terbaik.
“Dan pada tahun ini juga, kita akan lebih memberi tumpuan struktur asas pemain dan akan meningkatkan dari segi kekuatan mereka. Tahun ini, tempat latihan kita masih sama iaitu si UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris),” katanya.
Selain itu, beliau dan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) akan terus memantau pemain naturalisasi yang beraksi di luar negara untuk memastikan mereka benar-benar berada di tahap tertinggi sebelum dipanggil ke skuad kebangsaan.
Katanya, kehadiran mereka sangat diperlukan bagi memastikan Malaysia mampu mencatatkan kemenangan ke atas Sri Lanka sekali gus berpeluang untuk kekal berada di Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Divisyen Premier musim ini.