SEREMBAN: Selepas menerima pengalaman berharga ketika beraksi pada Siri Piala Presiden 2025 bulan lalu, pelumba kebangsaan, Muhammad Yusri Shaari kini bersedia untuk memperagakan aksi lebih mantap pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025, yang akan berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, dari 21 hingga 27 Februari ini.
Yusri yang berasal dari Perak dan berusia 26 tahun, bakal beraksi dalam acara endurance (elimination race).
Meskipun bukan pertama kali mengambil bahagian dalam kejohanan berprestij ini, namun dia mahu menjadikan edisi kali ini di tempat sendiri sebagai medan untuknya mencapai impian ke podium.
“ATC 2025 adalah kali ketiga saya beraksi pada kejohanan berprestij ini selepas 2019 di Korea Selatan dan Malaysia pada 2023.
“Saingan ini bukan mudah malah dijangka lebih sengit terutama pelumba dari Jepun, namun saya sudah mempunyai sasaran tersendiri untuk berusaha mendapat tempat di podium,” kata Yusri.
Dia yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini bernaung di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) berkata, setakat ini persiapannya sudah mencapai 80 peratus. Malah dia yakin prestasi terbaiknya akan memuncak menjelang aksi pembuka tirai cabaran pada Jumaat ini.
Menurutnya, walaupun bakal berentap dengan pelumba terbaik dari Asia, namun dia mahu menggunakan peluang sebaik mungkin beraksi di Velodrom Nasional itu untuk memperagakan aksi lebih baik berbanding kejohanan yang lalu.
“Melalui bimbingan jurulatih (Amir Mustafa Rosli) dan pengalaman menyertai dua kejohanan sama sebelum ini, saya kini lebih bersedia untuk memberikan persembahan terbaik,” katanya yang meraih pingat gangsa pada Siri Piala Presiden 2025 di gelanggang sama, bulan lalu.
Bagi Yusri, dia mahu memulakan cabaran ATC 2025 ini sebagai permulaan yang baik untuknya berada sebaris dengan pelumba kebangsaan terbaik yang lain dalam usaha agar misinya tidak mahu terlepas peluang mewakili negara di pentas Sukan SEA di Bangkok, Thailand, hujung tahun ini.