Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tang Jie tak puas hati permulaan musim 2025

KUALA LUMPUR: Bintang beregu campuran negara Chen Tang Jie masih belum berpuas hati dengan permulaan musim 2025 selepas gagal merangkul sebarang gelaran setakat ini.

Tang Jie berkata dia dan pasangannya Toh Ee Wei banyak mensia-siakan peluang untuk melakar kejayaan membanggakan sepanjang tiga kejohanan yang disertai biarpun menampilkan prestasi baik di gelanggang.

“Semua pertandingan pun ada peluang untuk pergi lebih jauh dan boleh jadi juara, tetapi selalu berhenti di separuh akhir atau suku akhir. Saya rasa sudah bagus tapi akhirnya masih kalah lagi.

“Macam di Terbuka India, kami main bagus tapi di separuh akhir kena tekan. Di tanah air sendiri (Terbuka Malaysia) kami memulakan permainan dengan bagus tapi kalah juga. Jadi saya rasa tak puas hati (permulaan musim),” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan, di sini hari ini.

Tang Jie-Ee Wei memulakan kempen 2025 dengan kekalahan di separuh akhir kepada beregu China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 21-19, 21-14 pada Terbuka Malaysia dan terkandas di peringkat sama apabila dikejutkan pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-17, 21-15 pada Terbuka India.

Penampilan ketiga mereka tahun ini pada Masters Indonesia pula terhenti di suku akhir selepas tumpas kepada Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand 21-18, 20-22, 18-21.

Justeru, Tang Jie berkata tempoh rehat daripada sebarang pertandingan ketika ini digunakan dengan fokus meningkatkan aspek mental dan fizikal selain cuba memiliki variasi dari segi strategi permainan sebelum kembali berjuang di Eropah termasuk Orleans Masters di Perancis (4 hingga 9 Mac) dan Seluruh England di Birmingham (11 hingga 16 Mac).

Pemain berusia 27 tahun itu juga berharap untuk mengulangi kejayaan merangkul gelaran Orleans Masters selepas kali terakhir memenanginya pada 2023, yang juga kejayaan sulung mereka pada kejohanan Jelajah Dunia.

Mengenai cabaran di Seluruh England, pemain kelahiran Perak itu berharap dapat memberikan persembahan lebih baik tahun ini selepas masih belum berjaya menjejakkan kaki sekurang-kurangnya ke suku akhir sejak membuat penampilan sulung pada kejohanan badminton tertua dunia pada 2023.

Sementara itu, dia tidak berkecil hati dengan mana-mana kritikan peminat badminton tempatan di media sosial terhadap prestasinya dan masih boleh menerima teguran daripada mereka selagi tidak menyentuh hal peribadi.

“Saya hormati dan hargai komen mereka sebab kadangkala ada positif dan ada negatif tapi saya terima sahaja.

“Saya tidak marah cuma rasa mungkin saya ada buat silap ke apa, namun akan cuba bangkit lagi dan apa yang boleh dijanjikan saya akan beri yang terbaik,” katanya. – BERNAMA