Kuala Lumpur: Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Mohamad, menyifatkan kejayaan Muhammad Azeem Fahmi memecahkan rekod kebangsaan acara 60 meter(m) dalam dewan sebagai bukti bahawa pelari negara itu berjaya memulakan musim 2025 dengan cemerlang.
Azeem, 20, yang kini menuntut di Universiti Auburn, Amerika Syarikat (AS), mencatat masa 6.60 saat dalam Kejohanan Jemputan Tiger Paw di Universiti Clemson, California, sekali gus memperbaharui rekod lama 6.62s yang dilakukan pada kejohanan sama dua tahun lalu.
Nazmizan, yang pernah mencipta sejarah memenangi dua emas 100m dan 200m di Sukan Sea 2003, melihat pencapaian Azeem sebagai satu petanda positif terutama dalam usaha untuk memecahkan rekod kebangsaan acara 100m dan juga memburu masa bawah 10s.
“Apa yang Azeem lakukan ini sangat luar biasa kerana dia bukan sekadar memecahkan rekod, tetapi melakukannya di kejohanan berprestij yang menghimpunkan pelari terbaik peringkat kolej di AS. Ini membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri,” kata Nazmizan ketika dihubungi Harian Metro.
Bagaimanapun, Nazmizan berpandangan Azeem masih perlu memperbaiki beberapa aspek teknikal, khususnya dalam acara 100 meter, jika mahu mencatat masa bawah 10s.
“Berdasarkan analisis teknikal, Azeem perlu mengekalkan kelajuan maksimum sepanjang 40m terakhir (3.30-3.39s) untuk memastikan dia mampu menembusi had 10s ke bawah dalam 100m. Ini adalah cabaran utama yang perlu diberi perhatian dalam latihan.
“Kejayaan baru-baru ini juga menunjukkan program latihan di Auburn membantu meningkatkan prestasi Azeem. Dia kini berada dalam sistem yang betul dengan kemudahan bertaraf dunia dan jurulatih berpengalaman,” katanya.
Tambah Nazmizan, beliau berharap Azeem dapat mengekalkan pecutan tertinggi dan menggilap lagi persembahannya dengan bantuan pelari-pelari hebat di Auburn.
“Saya yakin dia berlatih di universiti yang ada pelari-pelari yang hebat, yang akan melonjakkan prestasinya. Cuma tunggu masa untuk dia akan berlari di sekitar bawah 10s.
“Sebab kita pun tak boleh nak memberi tekanan kepadanya dia. Larian 100m ini susah nak jaga. Dia bukan macam kita main petik buah. Kalau buah Kita tahu bila nak masak kan? Macam contoh kita ambil petik buah-buah yang dah nak masak,” tambahnya.
Ketika ini, Azeem memegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia, pada 2022.