Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Naturalisasi kukuhkan skuad ragbi

Kuala Lumpur: Ragbi Malaysia (MR) memberi tumpuan kepada pemain naturalisasi sebagai elemen penting dalam memperkukuhkan skuad 15 sebelah negara bagi menghadapi perlawanan menentang Sri Lanka dan Kejohanan Ragbi Asia (ARC) pada bulan Jun.

Menurut Presiden MR Amir Amri Mohamad, keputusan sama ada Malaysia akan menentang Sri Lanka hanya akan diketahui selepas Mesyuarat Ragbi Asia Selasa ini, sebelum dibawa ke mesyuarat exco pada 21 Februari.

“Kami perlu memulakan latihan seperti yang dirancang kerana masa semakin suntuk, hanya berbaki kira-kira empat bulan sebelum kejohanan sebenar berlangsung. Pemain naturalisasi akan memainkan peranan penting dalam memastikan kita mempunyai skuad yang kompetitif,” kata Amir Amri dalam sidang media Pengumuman Barisan Kejurulatihan Bunga Raya 2025 semalam.

Tahun lalu dalam saingan ARC Divisyen Premier, Malaysia menduduki tangga terakhir di belakang juara, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Korea Selatan.

Bagi mengekalkan kedudukan dalam saingan Divisyen Premier dan tidak tersingkir ke Divisyen Satu mereka perlu berentap dalam saingan playoff menentang Sri Lanka (juara Divisyen Satu).

Ujarnya, MR turut mengakui pihaknya masih menunggu pelepasan beberapa pemain naturalisasi yang kini beraksi dalam liga Eropah, yang dijangka menjadi tunjang utama pasukan kebangsaan.

“Dalam tempoh ini, MR dijangka akan melaksanakan persiapan rapi termasuk sesi latihan untuk pasukan 15 sebelah dengan harapan pemain naturalisasi dapat pelepasan daripada kelab-kelab luar.

“Kami mahu memastikan skuad kebangsaan berada pada tahap terbaik. Kehadiran pemain naturalisasi bukan sahaja menambah kualiti permainan tetapi juga memberi lebih banyak pilihan taktikal kepada pasukan.

“Sebahagian besar pemain naturalisasi kita kini sedang beraksi di liga-liga Eropah seperti di Perancis, Romania dan Georgia. Sekiranya kelab mereka memberikan pelepasan, kita akan membawa mereka masuk untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan,” katanya,

Tambahnya, berdasarkan perancangan semasa, terdapat sekurang-kurangnya empat pemain yang berpotensi besar untuk menyertai skuad kebangsaan menentang Sri Lanka sekiranya perlawanan itu diteruskan.

Semalam, MR mengumumkan pelantikan ketua jurulatih baharu skuad Bunga Raya 15, Mohd Saizul Hafifi Md Noor bagi menghadapi playoff ARC Divisyen Premier yang dijangka berlangsung April menentang Sri Lanka, jika layak kejohanan berkenaan akan diadakan pada Jun.