Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 11, 2025

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysia turunkan barisan terkuat jumpa Hong Kong

Kuala Lumpur: Pasukan badminton negara bakal menurunkan barisan terkuat apabila turun berdepan Hong Kong di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di Qingdao, China, esok.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, K Yogendran berkata, barisan kejurulatihan akan membuat analisa pertemuan membabitkan antara Indonesia dan Hong Kong yang berlangsung hari ini sebelum merancang strategi berdepan Hong Kong.

Yogendran berkata, setakat ini semua berjalan dengan lancar dan membuat persiapan rapi selepas mendapat rehat hari ini.

“Kita akan lihat perlawanan antara Indonesia dan Hong Kong. Kemudian kita akan buat persiapan rapi untuk senarai pemain yang akan diturunkan nanti.

“Apa yang pasti kita akan turunkan pemain terbaik dan kita akan cuba untuk memang.

“Saya harap pemain akan pamerkan semangat juang yang tinggi dan beri sepenuh tenaga agar kita dapat menang atasi Hong Kong,” katanya.

Bagaimanapun, pemain dinasihatkan agar lebih berhati-hati kerana Hong Kong kini dibimbing oleh bekas jurulatih negara, Wong Choong Hann, Tan Bin Shen dan Jeremy Gan yang sudah pasti sedikit sebanyak boleh membaca corak permainan pemain negara.

Kali terakhir Malaysia berentap dengan Hong Kong dalam aksi berpasukan campuran adalah ketika pertemuan Peringkat Kumpulan Piala Sudirman 2009 dengan kemenangan memihak kepada pasukan negara 4-1.

Malaysia seterusnya akan berdepan Indonesia, Khamis ini.

Berdasarkan rekod pertemuan kali terakhir Malaysia menewaskan Indonesia adalah di Suku Akhir Piala Sudirman 2021 dengan keputusan 3-2.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Thailand antara 15 negara sertai Piala Asia

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 negara bakal memeriahkan saingan Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini, Mei depan.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, antara negara yang mengesahkan penyertaan dalam edisi sulung kejohanan ini ialah Malaysia, India, Singapura, Brunei, Iraq, Myanmar, Indonesia, Vietnam, Jepun, dan Taiwan.

Selain itu, kejohanan turut disertai jaguh dunia seperti Thailand, Korea Selatan, China, Pakistan, dan Filipina.

“Semalam, kami mengadakan mesyuarat persiapan Piala Asia 2025 bersama beberapa exco Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) dan telah memutuskan bahawa 15 negara telah mengesahkan penyertaan mereka.

“Seperti yang diketahui, Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia tahun ini akan mempertandingkan empat acara utama iaitu regu (mandatori), double, quadrant, dan berpasukan,” katanya dalam sidang media di sini, semaIam.

Mohd Sumali berkata, acara quadrant menerima sembilan penyertaan, double (tujuh), dan berpasukan (lapan), sekali gus menunjukkan perkembangan positif dalam kejohanan ini.

“Setakat ini, belum pernah ada Piala Asia yang dianjurkan secara sistematik dengan empat acara seperti ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, PSM sudah mencadangkan penambahbaikan sistem “challenge” dalam kejohanan antarabangsa, termasuk temasya sukan, kepada ASTAF.

Menurut beliau, cadangan itu bertujuan memastikan pasukan tidak kehilangan peluang “challenge” sekiranya keputusan berpihak kepada mereka.

“Sistem sedia ada memperuntukkan dua peluang “challenge”, tetapi ia tetap dipotong setiap kali digunakan, sama ada menang atau kalah.

“Saya telah mengemukakan cadangan rasmi kepada ASTAF dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) supaya pasukan yang memenangi “challenge” dapat mengekalkan peluang mereka, bukannya dikurangkan,” katanya. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia