Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 9, 2025

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysia ke-11 terbaik dunia

Kuala Lumpur: Malaysia akhirnya memperoleh kemenangan pertama apabila berjaya menundukkan Trinidad & Tobago 6-4 untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-11 pada Kejohanan Piala Dunia Dalam Dewan Lelaki 2025, hari ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Zatika, Porec, Croatia untuk penentuan tempat ke-11 dan 12 itu menyaksikan kedua-dua pasukan turun dalam misi mendapatkan kemenangan sulung.

Trinidad & Tobago membuka tirai jaringan terlebih dahulu menerusi Mickell Pierre seawal minit ketujuh sebelum Darren Cowie mengukuhkan kedudukan 2-0 minit ke-10.

Malaysia yang ketinggalan 0-2 berjaya melakukan kebangkitan apabila Muhammad Ashran Hamsani menjaringkan dua gol pantas dalam masa 60 saat pada minit ke-14 sebelum Abdul Khaliq Hamirin mencetak nama selaku penjaring tiga minit selepas itu tetapi kelebihan itu segera dipadamkan oleh Teague Marcano minit ke-20 untuk menjadikan kedudukan terikat 3-3.

Perlawanan terus berlangsung dengan lebih rancak apabila Trinidad & Tobago kembali mendahului 4-3 melalui Jordan Viera minit ke-21 sebelum Malaysia menyamakan kedudukan dua minit kemudian menerusi Muhammad Najmi Farizal Jazlan.

Di suku terakhir, anak buah Rodzhanizam Mat Radzi terus mencipta peluang dan berjaya mendapatkan dua gol daripada Khaliq Hamirin dan Faridzul Afiq Mohd pada minit ke-33 dan 37 sekali gus menutup perlawanan dengan kemenangan 6-4.

Kemenangan itu membolehkan pasukan negara berjaya mengelak daripada berada di tangga tercorot dalam kejohanan itu.

Untuk rekod, ia adalah kemenangan pertama buat Malaysia pada kejohanan berkenaan selepas gagal melakukannya sebelum ini apabila tewas kepada lawan masing-masing dalam kesemua perlawanan.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Waspada cabaran Hong Kong – Rexy

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tetap berwaspada ancaman yang bakal diterima pasukan Hong Kong pada aksi pertama peringkat Kumpulan B, Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025, Rabu ini.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, perlawanan sulung itu amat penting untuk mendapatkan kemenangan, namun beliau menyedari ia tidak akan menjadi perlawanan yang mudah buat pasukan negara.

“Kita lihat Hong Kong memang agak bagus dalam acara perseorangan (lelaki) dan untuk perseorangan wanita, kita boleh cakap (peluang) 50-50, namun untuk beregu lelaki tidak boleh terlalu yakin sebaliknya pemain perlu berikan yang terbaik,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya satu kemenangan untuk memastikan slot suku akhir menjadi milik negara.

Jika dilihat pemain yang dibariskan oleh Hong Kong, mereka mempunyai kekuatan pada perseorangan lelaki apabila Angus Ng Ka Long yang berada di ranking ke-20 dunia dan Lee Cheuk Yiu (21) berada dalam skuad itu.

Malah untuk acara beregu wanita pula, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam yang berada di kedudukan ke-13 dunia juga bakal memberi sedikit kelebihan buat mereka.

Sementara bagi kem negara, BAM menyenaraikan pemain nombor 27 dunia, Leong Jun Hao dan Justin Hoh (53) akan mengisi slot perseorangan lelaki, manakala K Letshanaa (53) dan Wong Ling Ching (95) akan memainkan peranan penting dalam kategori perseorangan wanita.

Bagi beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun (12) dan Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi (20) bakal menggalas tugas utama mendapatkan mata buat Malaysia.

Teoh Mei Xing-Go Pei Kee (49) dan Tan Zhing Yi-Cheng Su Hui pula akan beraksi dalam acara beregu wanita.

Pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai (4) akan menjadi satu-satunya pemain berpengalaman yang menyertai pasangan beregu campuran negara dan akan dibantu oleh Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (15).

Dua pasangan berpengalaman itu juga menjadi taruhan penting buat kem negara.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Ketiadaan sasaran pingat, untuk elak tekanan- Hannah

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menepis kritikan pelbagai pihak bahawa keputusan meletakkan sasaran tanpa warna pingat bukan dilakukan secara bersendirian tetapi ia hadir daripada pakar.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, keputusan itu dilakukan selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kaedah yang digunakan sebelum ini yang sering meletakkan sasaran pingat emas sehingga ia boleh mendatangkan tekanan kepada atlet yang bertanding.

Disebabkan itu, KBS ingin melakukan pembaharuan ditambah pula saranan daripada barisan pakar di Nippon Sports Science University (NSSU) menyebabkan pihaknya bersetuju untuk menggunakan cara itu di temasya dwitahunan itu mengikut jumlah pingat keseluruhan.

“Saya ingin mengatakan saranan itu untuk mengumumkan sasaran berdasarkan jumlah pingat dan bukan warnanya (emas), ia bukan saranan Hannah Yeoh.

“Ia datang dari NSSU dan ketika kita berbincang, mereka berkata mengapa Malaysia masih menggunakan laluan ini sedangkan negara lain sudah tidak menggunakannya lagi.

“Ini (saranan) datang daripada pakar NSSU dan mengapa kita mendengar daripada mereka? Kerana universiti itu sendiri, mereka mencapai lebih daripada 40 pingat emas di Sukan Olimpik,”katanya selepas majlis perasmian cawangan baharu Rhythmic Excellence Academy di sini, hari ini.

Selain itu, Hannah menafikan mereka tidak mengambil kira pandangan pakar pelbagai pihak dari Malaysia.

“Bukanlah kami tidak mendengar. Kami mendengar, tetapi di sini tiada gunanya kami menandatangani MoU (memorandum perjanjian), kami menjemput pakar yang datang dan pada akhirnya beritahu mereka maaflah saya tidak ingin mendengar kata-kata anda kerana saya fikir Malaysia lebih tahu.

“Jika ia memberi kesan baik buat Jepun, Australia serta pakar negara lain saya ingin memberikannya peluang,” katanya.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan keputusan tidak meletakkan sasaran pingat kepada atlet negara pada Sukan Sea Thailand 2025 dilihat kurang praktikal untuk dilakukan pada kejohanan dwitahunan itu.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, beliau melihat Sukan Sea adalah pentas terbaik buat atlet negara beraksi kerana memburu pingat nampak lebih mudah selepas mengambil kira faktor penyertaan daripada setiap negara Asean.

Majlis Sukan Negara Malaysia