Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hoki dalam dewan, Malaysia kalah lagi

Kuala Lumpur: Meskipun gagal mencatat sebarang kemenangan dalam Kumpulan B namun pemain hoki dalam dewan lelaki negara berjaya menunjukkan prestasi yang lebih baik pada aksi terakhir ketika menentang Iran.

Pengendali skuad hoki dalam dewan lelaki Rodzhanizam Mat Radzi berkata, pemain mempamerkan peningkatan yang baik dan mereka terus bersemangat serta tidak berputus asa untuk mendapatkan keputusan positif.

Tambahnya, beliau berharap selepas ini setiap pemain boleh memanfaatkan setiap peluang itu dalam bentuk jaringan.

“Secara keseluruhannya, perlawanan pada hari ini (awal pagi tadi), pemain bermain dengan begitu baik sekali mengikut perancangan seperti yang kita lakukan. Mereka berikan yang terbaik ketika bertemu pasukan Iran.

“Kita dapat lihat setiap daripada mereka sangat fokus dan berdisiplin bermula dari suku pertama sehingga suku keempat.

“Beberapa kesilapan kecil yang sering dilakukan sebelum ini, pemain berjaya mengurangkannya ketika bertemu Iran dan kita juga dapat peluang untuk jaringkan gol cuba kita tidak ambil (peluang). Kalau kita dapat peluang untuk menjaringkan gol, mereka perlu ambil dengan sebaiknya,” katanya.

Malaysia perlu menunggu aksi terakhir setiap kumpulan yang akan berlangsung tengah malam hari ini sehingga pagi Jumaat untuk mengetahui siapa lawan skuad kendalian Rodzhanizam selepas ini.

Terdahulu, pasukan negara tewas dalam ketiga-tiga perlawanan selepas dibelasah Jerman (4-12) pada perlawanan pertama disusuli dengan Argentina (2-5) sebelum tewas kepada Iran (0-3) untuk berada di tangga terbawah Kumpulan B.